Pendapatan kerajaan terkesan dengan kejatuhan harga minyak - Pakar
Luqman Hariz
Ogos 26, 2015 08:44 MYT
Ogos 26, 2015 08:44 MYT
Penurunan harga minyak akan mengurangkan pendapatan kerajaan.
Menurut Prof Datuk Dr John Antony Xavier dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), beliau melihat kejatuhan harga minyak kini akan menyebabkan defisit pada pendapatan kerajaan.
Beliau turut menyuarakan kegusaran akan kesan defisit ini kepada Bajet 2016 yang akan dibentangkan.
"Sebelum ini, negara membentangkan bajet berdasarkan harga minyak pada paras US$100. Kini, ia telah turun hingga bawah US$40. Jadi, pendapatan negara telah jauh berkurangan," ujarnya.
Tambahnya, contoh empirikal ini dapat dilihat pada syarikat besar seperti Petronas yang turut terkesan dan mungkin tidak dapat membayar dividen seperti sebelumnya.
Syarikat gergasi minyak itu sendiri telah mengesahkan pengurangan pada perbelanjaan modal mereka.
"Anggaran pendapatan perlu dilihat semula oleh kerajaan berdasarkan paras harga anggaran minyak kini.
"Jika embargo minyak Iran ditamatkan apabila mencapai persetujuan mengenai pelucutan senjata nuklear, ini juga akan bantu membanjiri pasaran dengan minyak lebih murah.
"Ini akan menurunkan harga minyak lebih rendah lagi," tambahnya.