Pendapatan jualan Top Glove meningkat 336 peratus, umum agihan dividen 70 peratus
Harits Asyraf Hasnan
Mac 9, 2021 14:10 MYT
Mac 9, 2021 14:10 MYT
KUALA LUMPUR: Top Glove Corporation Bhd merekodkan pendapatan jualan suku tahunan tertinggi iaitu RM5.37 bilion, berakhir 28 Februari lalu.
Ia peningkatan 336 peratus berbanding suku sama tahun lalu serta peningkatan 13 peratus dari suku pertama tahun ini.
Dalam satu kenyataan, Top Glove memaklumkan keuntungan selepas cukai yang direkodkan adalah hampir RM2.9 bilion, iaitu 24 kali lebih tinggi berbanding tempoh yang sama pada tahun 2020.
“Jumlah jualan juga berada pada aliran menaik, meningkat sebanyak 19 peratus tahun ke tahun, manakala menurun tujuh peratus suku ke suku disebabkan oleh pemberhentian sementara dalam pengeluaran di kilang Meru, Klang pada November dan Disember 2020,” memetik kenyataan itu.
Top Glove pada masa sama mengumumkan pembayaran dividen khas kepada lebih kurang 120,000 pemegang saham awamnya.
“Pembayaran dividen terdiri daripada pemabayaran dividen khas sebanyak 20 peratus, tambah 50 peratus berdasarkan dividen polisi syarikat, membawa kepada jumlah bayaran dividen sebanyak 70 peratus.
“Ia berjumlah 25.2 sen sesaham. Tarikh akhir dividen adalah 23 Mac 2021 sementara tarikh pembayaran adalah 6 April 2021,” katanya.
Melihat kepada prestasi kewangan kumpulan bagi separuh pertama 2021, Top Glove sifatkan ia sangat kukuh.
“Pendapatan jualan berjumlah RM 10.12 bilion, melonjak 315 peratus berbanding separuh pertama tahun 2020. Manakala Keuntungan Selepas Cukai mencatatkan RM5.23 bilion, melonjak 2,203 peratus atau 22 kali ganda berbanding tempoh sama tahun 2020,” katanya.
Pada 28 Februari 2021, Kumpulan berada dalam kedudukan tunai bersih sebanyak RM4.06 bilion.