Pendapatan boleh agih separuh pertama KWSP naik 29 peratus kepada RM36.70 bilion

Bernama
Ogos 13, 2024 10:00 MYT
KWSP berkata setakat 30 Jun 2024, aset pelaburan di bawah pengurusan berjumlah RM1.21 trilion dengan 38 peratus dilaburkan dalam pelaburan luar negara.
KUALA LUMPUR: Jumlah pendapatan boleh agih Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi tempoh enam bulan berakhir pada 30 Jun, 2024, meningkat 29 peratus kepada RM36.70 bilion daripada RM28.40 bilion bagi tempoh sama 2023.
Dalam kenyataan hari ini, KWSP berkata pendapatan boleh agih itu bagaimanapun tidak termasuk keuntungan 'mark-to-market' (MTM) bagi sekuriti belum direalisasikan.
Jumlah pendapatan boleh agih KWSP bagi suku kedua 2024 selepas turun nilai kos, meningkat 25 peratus kepada RM17.50 bilion daripada RM13.98 bilion pada suku sama tahun lepas.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Ahmad Zulqarnain Onn berkata keadaan pasaran menggalakkan di Malaysia dan global telah menyumbang kepada 29 peratus pertumbuhan dalam pendapatan boleh agih bagi suku pertama 2024 manakala aset di bawah pengurusan meningkat kepada RM1.21 trilion.
"Pasaran Malaysia mendapat manfaat daripada peningkatan sentimen pelabur terhadap dasar yang berorientasikan pertumbuhan dan pembaharuan fiskal.
"Selain itu, pasaran global seperti Amerika Syarikat (AS) pula meraih manfaat daripada keadaan makroekonomi yang kukuh, penurunan inflasi dan jangkaan permulaan kitaran pengurangan kadar faedah," katanya.
Ahmad Zulqarnain berkata walaupun keadaan pasaran agak tenang, risiko dilihat kekal berikutan penjualan baru-baru ini dalam pasaran global dan peningkatan ketidaktentuan disebabkan oleh peserta pasaran yang melepaskan beberapa kedudukan yang tertumpu dan sesak.
"Sebagai pelabur jangka panjang, KWSP akan meneruskan strategi membina portfolio yang pelbagai, didorong oleh peruntukan aset strategiknya," katanya.
Bagi suku dalam kajian itu, dana persaraan itu berkata pendapatan daripada pelaburan ekuiti terus menjadi penyumbang utama pendapatan bagi suku kedua 2024 pada RM10.75 bilion selepas turun nilai kos atau merangkumi 61 peratus daripada jumlah pendapatan boleh agih yang dikaji.
Prestasi pasaran ekuiti yang lebih baik di pasaran domestik dan pasaran maju global, juga telah memacu pertumbuhan pendapatan berbanding RM7.84 bilion yang dicatatkan pada suku kedua 2023.
Menurut KWSP, penurunan nilai bagi tempoh dikaji adalah kecil pada RM0.69 bilion berikutan pengurusan portfolio aktif oleh pengurus dana dan prestasi pasaran ekuiti keseluruhan yang lebih baik.
"Pendapatan tetap terus memberi aliran pendapatan stabil, mengurangkan kesan turun naik pasaran jangka pendek dan menyediakan kestabilan untuk pendapatan keseluruhan KWSP.
"Kelas aset ini yang merangkumi Sekuriti Kerajaan Malaysia dan Bon Sama Taraf (MGS) serta Pinjaman dan Bon, menyumbang 33 peratus atau RM5.72 bilion kepada jumlah pendapatan boleh agih KWSP bagi suku kedua 2024," katanya.
Pada masa sama, katanya, hartanah dan infrastruktur mencatat pendapatan sebanyak RM0.50 bilion manakala instrumen pasaran wang menjana RM0.53 bilion, sejajar dengan kadar faedah dan keuntungan semasa.
KWSP berkata setakat 30 Jun 2024, aset pelaburan di bawah pengurusan berjumlah RM1.21 trilion dengan 38 peratus dilaburkan dalam pelaburan luar negara.
Pada suku kedua, pelaburan luar negara KWSP menjana sebanyak RM8.64 bilion atau 49 peratus daripada jumlah pendapatan boleh agih yang dicatatkan.
Dana persaraan itu juga memperuntukkan lebih 80 peratus daripada peruntukan tahunan pelaburan baharunya kepada pasaran domestik dan kekal komited dalam menyokong serta menyumbang ke arah mencapai matlamat digariskan dalam rangka kerja Ekonomi MADANI.
"Daripada jumlah pendapatan boleh agih, sebanyak RM31.34 bilion dijana untuk Simpanan Konvensional manakala RM5.36 bilion untuk Simpanan Syariah," katanya.
Prospek ekonomi kekal positif
Ahmad Zulqarnain berkata prestasi kukuh ekonomi domestik turut mencerminkan daya tahan dan potensi pertumbuhan Malaysia, didorong oleh pasaran buruh yang positif, dasar kerajaan yang menggalakkan dan kitaran teknologi global.
"Tinjauan ekonomi Malaysia dilihat kekal positif. Unjuran Bank Negara Malaysia bagi pertumbuhan setahun penuh antara 4.0 peratus dan 5.0 persatus dalam keadaan inflasi sederhana pada purata 2.0 peratus dan 3.5 peratus, menyokong iklim pelaburan yang positif," katanya.
Menyentuh landskap ekonomi global, Ahmad Zulqarnain berkata pertumbuhan diunjur kekal stabil pada 2024 dengan lebih banyak bank pusat dijangka mula melonggarkan dasar monetari pada separuh kedua tahun ini apabila inflasi terus berkurangan.
Namun, beliau berkata KWSP kekal berwaspada berikutan unjuran terus dibebani risiko seperti inflasi yang berterusan, kelembapan pertumbuhan yang lebih ketara daripada jangkaan dan ketidaktentuan sekitar pilihan raya Amerika Syarikat dan dasar ekonomi.
Risiko lain adalah kemelut sektor hartanah China dan pemulihan ekonomi yang lemah selain ketegangan geopolitik yang berterusan, katanya.
Beliau berkata bagi tempoh separuh pertama 2024, KWSP menyaksikan 235,032 pendaftaran ahli baharu yang menjadikan jumlah keahliannya mencecah 16.0 juta.
Sebanyak 8.6 juta adalah ahli aktif yang kini mewakili 50 peratus daripada 17.15 juta tenaga kerja Malaysia.
"Pendaftaran majikan baharu dalam tempoh sama adalah 37,284 dan menjadikan jumlah majikan aktif berdaftar dengan KWSP kepada 610,357.
"Jumlah caruman diterima meningkat kepada RM57.35 bilion dalam separuh pertama 2024 daripada RM50.48 bilion bagi tempoh sama 2023," katanya.
-- BERNAMA
#KWSP #pendapatan boleh agih #separuh pertama #Kumpulan Wang Simpanan Pekerja