Pendapatan boleh agih KWSP naik 33.1 peratus kepada RM19.2 bilion pada suku pertama

Bernama
Jun 12, 2024 04:45 MYT
Menurut KWSP, walaupun prestasi suku pertama kukuh, pasaran kewangan terus berdepan beberapa risiko meluas.
KUALA LUMPUR: Jumlah pendapatan boleh agih Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi suku pertama berakhir 31 Mac, 2024, naik 33.1 peratus kepada RM19.2 bilion daripada RM14.42 bilion dalam tempoh sama tahun lepas.
Pendapatan boleh agih itu tidak termasuk keuntungan 'mark-to-market' (MTM) sekuriti yang belum direalisasikan, kata dana persaraan itu dalam kenyataan hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Ahmad Zulqarnain Onn berkata walaupun prestasi suku pertama kukuh, pasaran kewangan terus berdepan beberapa risiko meluas seperti kadar faedah yang tinggi untuk tempoh lebih lama, risiko geopolitik dan konflik serta perubahan dasar berikutan pilihan raya di beberapa negara ekonomi besar pada tahun ini.
-- BERNAMA
#KWSP #Kumpulan Wang Simpanan Pekerja #pendapatan boleh agih #suku pertama