Pendapatan bersih KWAP melonjak 36 kali ganda kepada RM9.7 bilion pada Tahun Kewangan 2023
Bernama
Julai 31, 2024 16:50 MYT
Julai 31, 2024 16:50 MYT
KUALA LUMPUR: Pendapatan bersih Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) melonjak 36 kali ganda kepada RM9.7 bilion bagi Tahun Kewangan 2023 - angka tertinggi kedua sejak 2017- berbanding RM263 juta yang dicatatkan pada 2022.
Ketua Pegawai Pelaburannya Hazman Hilmi Sallahuddin berkata pertumbuhan pesat itu adalah disebabkan keadaan mencabar pada 2022, yang menyaksikan KWAP mengalami kerugian tidak direalisasi daripada pelaburan domestik dan antarabangsanya.
Dana itu juga mencapai pulangan pelaburan dana yang teguh sebanyak 8.2 peratus bagi tahun ini.
"Pada Tahun Kewangan 2023, saiz dana KWAP meningkat kepada RM169.8 bilion, merupakan kenaikan 7.4 peratus daripada RM158.1 bilion pada 2022," katanya semasa majlis pengumuman keputusan prestasi kewangan Tahun Kewangan 2023 KWAP, di sini, hari ini.
Hazman Hilmi berkata walaupun terdapat pengeluaran sebanyak RM3 bilion untuk membiayai sebahagian daripada liabiliti pencen kerajaan, peningkatan bersih sebanyak RM11.7 bilion mencerminkan komitmen berterusan KWAP untuk menguruskan aset dengan berhemat dan mengoptimumkan pulangan pelaburan.
Menurutnya, KWAP terus memberi tumpuan kepada perancangan pelaburan dan perumusan strategi yang komprehensif serta mengamalkan pendekatan inklusif untuk memastikan pertumbuhan mampan.
Bagi Tahun Kewangan 2023, peruntukan aset KWAP adalah seperti berikut: 47.9 peratus dalam ekuiti awam, 35.5 peratus dalam pendapatan tetap, 5.3 peratus dalam hartanah, 4.8 peratus dalam ekuiti swasta, 2.1 peratus dalam infrastruktur, dan 4.4 peratus dalam pasaran wang.
"Jumlah sumbangan yang diterima pada 2023 sebanyak RM2.7 bilion adalah daripada tiga sumber utama - sumbangan kerajaan persekutuan, saham kerajaan, dan caruman majikan.
"Caruman majikan termasuk daripada badan berkanun, pihak berkuasa tempatan, dan agensi peminjam," katanya.
Selain itu, katanya, KWAP komited untuk mengukuhkan ekosistem modal teroka Malaysia melalui inisiatif Dana Perintis yang dilancarkan pada 2023.
Inisiatif dengan peruntukan RM500 juta itu bertujuan untuk mempercepat pertumbuhan dalam landskap keusahawanan Malaysia, memperkasakan syarikat baharu, memacu inovasi dan meningkatkan daya tahan ekonomi.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Datuk Nik Amlizan Mohamed berkata pada 31 Disember, 2023, KWAP menyediakan khidmat kepada 790,772 penerima pencen Malaysia.
Ini merupakan kenaikan 2.8 peratus, atau 21,825 penerima pencen tambahan, berbanding 2022.
"Walaupun peningkatan penerima pencen pada 2023, prestasi perjanjian peringkat perkhidmatan (SLA) untuk perkhidmatan pencen mencapai skor berwajaran tahunan sebanyak 99.4 peratus pada 2023, melepasi ambang prestasi pada 95 peratus seperti yang ditetapkan dalam SLA dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)," katanya.
-- BERNAMA