Penarafan stabil Moody's bukti disiplin fiskal Malaysia diiktiraf - Tengku Zafrul
Najib Aroff
Januari 28, 2021 18:49 MYT
Januari 28, 2021 18:49 MYT
Kuala Lumpur: Keputusan Moody's mengekalkan penarafan penerbitan jangka panjang mata wang tempatan dan asing Malaysia pada tahap A3 dengan unjuran stabil bukti disiplin fiskal kerajaan berkesan.
Menurut Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, ia juga kepercayaan terhadap prospek pertumbuhan jangka sederhana yang utuh di sebalik langkah kawalan COVID-19.
"Ia juga menunjukkan kepercayaan Moody's terhadap Malaysia disebalik pelarasan penarafan kredit di peringkat global yang belum pernah disaksikan, dengan Agensi Penarafan Kredit (CRAs) melaksanakan 220 penarafan negatif sejak penularan pandemik," katanya dalam satu kenyataan.
Zafrul berkata kerajaan komited untuk konsolidasi fiskal jangka sederhana bagi memastikan kemampanan fiskal negara.
"Kami menyasarkan untuk menurunkan sasaran defisit daripada enam peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2020 kepada 5.4 peratus tahun 2021.
"Kami juga sasarkan defisit fiskal jangka sederhana pada 4.5 peratus dipacu Rangka Kerja Fiskal Jangka Sederhana dan penubuhan Akta Tanggungjawab Fiskal untuk menambah baik fiskal berhemah, tadbir urus dan ketelusan berdasarkan amalan terbaik global," katanya.
Zafrul berkata kedudukan kredit Malaysia kekal kukuh disokong kedudukan luaran yang berdaya tahan dan pasaran bon domestik yang berdaya maju.
"Malaysia secara konsisten merekodkan lebihan akaun semasa sejak dua dekad lalu, dengan rizab antarabangsa mencukupi, aset luaran besar yang dipegang oleh bank-bank serta korporat, selain kedudukan mata wang asing luaran yang besar bernilai RM1 trilion atau 71.8 peratus berbanding KDNK," katanya.
Tambah Zafrul bank-bank Malaysia juga lebih berdaya tahan kini susulan modal penampan yang terbina sejak beberapa tahun lepas serta amalan pengurusan risiko utuh.
"Ia menyokong aktiviti pinjaman dan keseluruhan ekonomi," katanya.
Selain itu Zafrul berkata Malaysia antara negara yang berbelanja besar untuk empat pakej rangsangan ekonomi melibatkan 20 peratus daripada KDNK melibatkan nilai RM3.5 bilion.
Moody's Investors Service pada Khamis mengesahkan penarafan penerbitan jangka panjang mata wang tempatan dan asing Malaysia pada A3 dengan unjuran stabil
#KDNK
#Keluaran Dalam Negara Kasar
#COVID-19
#MOF
#Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz
#moodys
#ekonomi