Penang Silicon Design @5km+ bakal kukuh kedudukan Malaysia dalam landskap semikonduktor global
Bernama
Disember 7, 2024 17:45 MYT
Disember 7, 2024 17:45 MYT
GEORGE TOWN: Inisiatif Penang Silicon Design @5km+ yang dilancarkan hari ini bakal mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi di negara ini sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam landskap semikonduktor global.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata dari segi pertumbuhan ekonomi, Penang Silicon Design @5km+ merupakan tarikan pelaburan yang disasarkan kerajaan menerusi Strategi Semikonduktor Nasional (NSS).
Beliau berkata ia disasarkan kepada syarikat tempatan dan antarabangsa untuk memberi fokus kepada bidang reka bentuk litar bersepadu (IC).
“Penang Silicon Design @5km+ ini merupakan inisiatif Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan kerjasama Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
“Ia juga kerjasama antara kerajaan, pihak akademia dan industri untuk memacu inovasi dalam industri semikonduktor,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri Majlis Perasmian Penang Silicon Design @5km+ di Bayan Lepas dekat sini hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan Penang Silicon Design @5km+ dan meluluskan geran padanan berjumlah RM50 juta bagi tempoh lima tahun dengan RM10 juta setahun.
Jumlah pelaburan untuk inisiatif berkenaan diunjurkan sebanyak RM120 juta dalam tempoh lima tahun akan datang dan kerajaan negeri menyediakan peruntukan RM60 juta bagi memacu inisiatif yang dicipta untuk merevolusikan industri semikonduktor Malaysia itu.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata menerusi inisiatif itu, ekosistem kerjasama antara pihak akademia, industri dan kerajaan itu juga bakal mewujudkan persekitaran kerjasama yang kondusif.
Penang Silicon Design @5km+ merangkumi tiga komponen utama iaitu Akademi Reka Bentuk Cip Pulau Pinang, Taman Reka Bentuk IC dan Digital Pulau Pinang serta Ruang Penyelidikan dan Inkubasi Silikon.
Pada 28 Mei lepas, Anwar mengumumkan Pelan NSS yang mampu menarik pelaburan hingga RM500 bilion dalam bidang berkaitan semikonduktor di dalam negara.
NSS merupakan pelan strategik untuk pemerkasaan industri semikonduktor negara yang dirangka dalam tiga fasa bagi memupuk kerjasama dengan syarikat di peringkat ASEAN, Asia dan global.
-- BERNAMA