Pemulihan sektor sarung tangan getah terus dibelenggu cabaran

Dagang News
Mac 7, 2024 12:50 MYT
Pemulihan sektor sarung tangan getah terus dibelenggu cabaran berikutan permintaan yang lemah, lebihan kapasiti besar-besaran dan penetapan harga terlalu rendah oleh penggiat luar negara tertentu. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Pemulihan sektor sarung tangan getah terus dibelenggu cabaran berikutan permintaan yang lemah, lebihan kapasiti besar-besaran dan penetapan harga terlalu rendah oleh penggiat luar negara tertentu, kata Kenanga Research.
Firma penyelidikan itu mengekalkan penarafan ‘underweight’ terhadap sektor ini memandangkan penggiat industri sarung tangan getah dalam kerugian atau melaporkan keuntungan sederhana dalam suku keempat 2023, dengan hanya satu yang mengatasi jangkaannya.
Dari sudut positif, firma tersebut berkata penamatan kemudahan pengeluaran lama yang berterusan secara tempatan akan membantu mengurangkan tekanan bekalan, sekurang-kurangnya membawa persaingan yang lebih rasional dalam kalangan penggiat tempatan.
Berikutan kenaikan pramatang dalam harga saham, Kenanga Research berkata ia tidak mempunyai pilihan utama bagi sektor ini dan mengelak semua saham di bawah liputannya, iaitu Hartalega Holdings Bhd (underperform; harga sasaran [TP]: RM2.33), Kossan Rubber Industries Bhd (underperform; TP: RM1.48), Supermax Corp Bhd (underperform; TP: 84 sen) dan Top Glove Corp Bhd (underperform ; TP: 75 sen)
Menurut firma penyelidikan itu, pemulihan sektor masih mencabar dan tiada pemulihan berbentuk V dengan penilaian tinggi beralih ke 2024.
“Walaupun sesetengah pemain telah kembali mencatat keuntungan sejak suku ketiga 2023, dengan hanya beberapa keuntungan kecil, kami percaya sektor ini akan terus menghadapi pendapatan yang tidak menentu pada masa hadapan memandangkan permintaan lemah dan harga getah nitril butadiena tinggi.
“Industri menjangkakan tempahan jualan suku tahunan yang tidak menentu kerana pengedar dan pembeli tidak melihat keperluan mendesak untuk membuat tempahan besar atau menyimpan stok yang banyak kerana bekalan adalah banyak dan mudah didapati,” ulasnya dalam nota penyelidikan hari ini.
Kenanga Research meramalkan situasi permintaan-bekalan hanya akan mula seimbang pada 2026 apabila kapasiti baharu yang akan datang hampir tiada, sementara permintaan global untuk sarung tangan terus meningkat sebanyak 15% setahun disokong oleh peningkatan kesedaran kebersihan.
Di samping itu, ia mengunjurkan permintaan sarung tangan getah meningkat 30% tahun ini kepada 390 bilion keping (disebabkan kesan asas yang rendah dalam 2023) dan meneruskan pertumbuhan organiknya sebanyak 15% selepas itu.
“Ini akan menghasilkan lebihan kapasiti sebanyak 212 bilion keping pada 2024. Lebihan kapasiti masih berterusan bermakna harga rendah dan tekanan penggunaan kilang akan terus membelenggu industri dalam 2024,” tambahnya.
Unjuran 2024 firma itu mengandaikan purata harga jualan (ASP) setiap 1,000 keping pada AS$20, bersamaan harga pad 2023 dan purata penggunaan kilang pada 45% berbanding anggaran 40% dalam 2023. - DagangNews.com
#Top Glove #Kenanga Research #sarung tangan getah #Hartalega Holdings
;