Pemulihan perjalanan udara cepat, pertumbuhan kargo udara berterusan pada Feb

Bernama
April 7, 2022 08:07 MYT
Menurut IATA, walaupun jumlah kargo terus meningkat namun kadar pertumbuhan berkurangan daripada pertumbuhan 8.7 peratus tahun ke tahun pada Disember.
KUALA LUMPUR: Perjalanan udara dan permintaan terhadap pasaran kargo udara global bertambah baik pada Februari 2022, menurut Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).
Dalam kenyataan pada Rabu, ia menjelaskan impak berkaitan Omicron menjadi sederhana di luar Asia manakala perang di Ukraine, yang bermula pada 24 Feb tidak memberi kesan besar kepada tahap trafik.
Jumlah trafik pada Februari 2022, yang diukur berdasarkan hasil daripada penumpang mengikut kilometer (RPK), meningkat 115.9 peratus berbanding Februari 2021, tambahnya.
"Ia adalah peningkatan daripada Januari 2022, iaitu meningkat 83.1 peratus berbanding pada Januari 2021. Bagaimanapun, berbanding dengan Februari 2019, trafik turun 45.5 peratus," menurut IATA.
Ia menambah, trafik domestik pada Februari 2022 meningkat 60.7 peratus daripada angka pada Februari 2021, meningkat 42.6 peratus pada Januari 2022 berbanding Januari 2021.
Trafik domestik pada Februari adalah 21.8 peratus di bawah jumlah pada Februari 2019.
Sementara itu, RPK antarabangsa melonjak 256.8 peratus berbanding angka Februari 2021, bertambah baik daripada peningkatan 165.5 peratus tahun ke tahun pada Januari 2022 berbanding tempoh tahun sebelumnya.
Menurutnya semua wilayah mencatatkan prestasi yang lebih baik berbanding pada bulan sebelumnya walaupun RPK antarabangsa Februari 2022 merosot sebanyak 59.6 peratus berbanding bulan yang sama pada 2019.
"Pemulihan perjalanan udara semakin baik memandangkan kerajaan di banyak bahagian di dunia telah menarik balik sekatan perjalanan," kata Ketua Pengarah IATA, Willie Walsh.
Selain itu, menurut IATA, permintaan untuk pasaran kargo udara global meningkat pada Februari 2022 walaupun menghadapi situasi operasi yang mencabar.
Ia menjelaskan dari segi permintaan, aktiviti pembuatan meningkat dengan pantas selepas cuti perayaan Tahun Baharu Cina pada awal Februari.
"Kapasiti dipengaruhi secara positif oleh kelonggaran umum dan progresif ke atas sekatan perjalanan COVID-19, pengurangan pembatalan penerbangan disebabkan faktor berkaitan Omicron (di luar Asia) dan kurangnya gangguan operasi cuaca musim sejuk," menurut IATA dalam kenyataan berasingan.
Permintaan global, yang diukur dalam kargo tan kilometer (CTK), meningkat 2.9 peratus berbanding Februari 2021 (2.5 peratus untuk operasi antarabangsa), tambahnya.
Menurutnya, walaupun jumlah kargo terus meningkat namun kadar pertumbuhan berkurangan daripada pertumbuhan 8.7 peratus tahun ke tahun pada Disember, katanya.
Kapasiti adalah 12.5 peratus melebihi angka Februari 2021 (8.9 peratus untuk operasi antarabangsa).
IATA menambah, walaupun ini berada pada tahap positif berbanding tahap sebelum COVID-19 melanda, namun kapasiti masih mengalami kekangan dengan merekodkan 5.6 peratus di bawah paras Februari 2019.
Ia juga menjelaskan kesan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine mempunyai kesan terhad di peringkat global terhadap prestasi Februari kerana ia berlaku menjelang akhir bulan.
IATA menjangkakan kesan negatif daripada perang dan sekatan yang berkaitan (terutamanya kos tenaga yang lebih tinggi dan pengurangan perdagangan) akan menjadi lebih ketara mulai Mac.
Walsh berkata permintaan untuk kargo udara terus meningkat walaupun menghadapi cabaran yang semakin sukar dalam persekitaran perdagangan.
"Ini tidak mungkin berlaku pada Mac kerana kesan ekonomi ekoran perang di Ukraine baru mula timbul.
"Peralihan berkaitan sekatan dalam aktiviti pembuatan dan ekonomi, kenaikan harga minyak dan ketidaktentuan geopolitik dijangka menjejaskan prestasi kargo udara," katanya.
-- BERNAMA
#pemulihan #perjalanan udara #kargo udara #IATA
;