Pemulihan pembuatan kekal utuh walaupun pertumbuhan IPP Malaysia perlahan pada Mac

Bernama
Mei 13, 2024 14:50 MYT
Prestasi sektor pembuatan dijangka bertambah baik, didorong oleh peningkatan dalam permintaan luar, disokong oleh sektor teknologi yang meningkat dan pemulihan ekonomi China. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Walaupun Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia perlahan iaitu 2.4 peratus pada Mac berbanding 3.1 peratus pada Februari, ia melepasi jangkaan dengan pemulihan dalam pembuatan kekal utuh, kata Kenanga Research.
Dalam nota penyelidikan hari ini, firma itu berkata prestasi sektor pembuatan dijangka bertambah baik, didorong oleh peningkatan dalam permintaan luar, disokong oleh sektor teknologi yang meningkat dan pemulihan ekonomi China.
Ia menyatakan IPP merekodkan penurunan sebanyak 0.2 peratus berikutan penguncupan dalam perlombongan (-1.8 peratus) dan pengeluaran elektrik (-3.1 peratus), dan pertumbuhan juga dijejaskan oleh pengeluaran dalam pembuatan yang lebih perlahan (+0.3 peratus) berbanding Februari (+0.9 peratus).
"Bacaan Indeks Pengurus Pembelian (PMI) bagi pembuatan terkini menunjukkan penstabilan pada April, iaitu 49.0 mata, berbanding 48.4 mata pada Mac, menghampiri paras neutral 50.0 mata, manakala industri berorientasikan domestik dijangka kekal teguh, disokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan," katanya.
Ini disebabkan oleh peningkatan dalam jumlah ketibaan dan perbelanjaan pelancong, bersama-sama dengan keadaan pasaran buruh yang stabil. Purata kadar pengangguran diunjurkan menurun kepada 3.2 peratus pada 2024, berbanding 3.4 peratus pada 2023.
"Sehubungan itu, kami mengekalkan sasaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama 2024 kami ialah pada 3.3 peratus, lebih rendah sedikit daripada anggaran KDNK terkini oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada 3.9 peratus. Secara keseluruhan, unjuran pertumbuhan kami kekal pada 4.5 hingga 5.0 peratus pada 2024," katanya.
Sementara itu, Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) berkata PMI bagi pembuatan global susut kepada 50.3 pada April berbanding 50.6 pada Mac, tetapi ia masih dalam wilayah pengembangan.
Dalam nota penyelidikannya, ia berkata indeks pembuatan Malaysia meraih sedikit momentum yang sebahagian besarnya disebabkan oleh pengeluaran berorientasikan eksport yang lebih kukuh manakala pengeluaran berorientasikan domestik agak perlahan.
"Pertumbuhan dalam perniagaan baharu disokong oleh peningkatan dalam tempahan untuk eksport baharu, menandakan peningkatan kali pertama dalam jumlah perdagangan antarabangsa bagi tempoh lebih dua tahun.
"Pada masa hadapan, pemulihan dalam permintaan luar dijangka memberi manfaat kepada sektor perkilangan Malaysia yang berorientasikan eksport, manakala sektor berorientasikan domestik akan terus disokong oleh perbelanjaan pengguna yang berdaya tahan dan pelaksanaan projek-projek seterusnya," tambah firma berkenaan.
-- BERNAMA
#ekonomi malaysia #sektor pembuatan #IPP Malaysia #MAC
;