Pemulihan eksport Malaysia terus kukuh - MIDF Research
Bernama
Disember 28, 2020 04:34 MYT
Disember 28, 2020 04:34 MYT
KUALA LUMPUR: Pemulihan eksport Malaysia terus kukuh pada November di tengah-tengah peningkatan semula kes COVID-19 di seluruh dunia, demikian menurut MIDF Research.
Firma penyelidikan itu dalam satu nota semalam berkata eksport Malaysia meningkat dengan stabil sejak kejutan awal daripada pandemik pada April dan Mei, sejajar dengan penyambungan semula aktiviti ekonomi di seluruh dunia dan mendapat manfaat daripada pemulihan China, rakan dagang utama negara ini.
Bagi tahun ini, firma penyelidikan itu telah menyemak semula unjuran pertumbuhan eksport dan import negara masing-masing pada -2.5 dan -6.9 peratus.
"Setakat ini bagi tahun ini, eksport jatuh -2.6 peratus tahun ke tahun, melepasi unjuran awal kami iaitu -3.5 peratus tahun ke tahun bagi tahun ini.
"Sementara itu, pemulihan import agak perlahan, terus mencatat pertumbuhan negatif sejak Mei, terutama disebabkan prestasi lemah kedua-dua barang perantaraan dan barang modal yang menunjukkan bahawa kebanyakan pengeluar tempatan masih lagi kurang yakin," katanya.
MIDF Research berkata setakat ini bagi tahun ini, import menyusut -7.0 peratus tahun ke tahun, jauh daripada unjuran awal iaitu -5.1 peratus tahun ke tahun.
"Sehubungan dengan itu kami menyemak semula unjuran pertumbuhan eksport bagi 2020 kepada -2.5 peratus tahun ke tahun, lebih baik daripada yang dijangkakan pada awalnya, dan unjuran pertumbuhan import kepada -6.8 peratus tahun ke tahun, menunjukkan prestasi lebih perlahan daripada yang dijangkakan sebelumnya," katanya.
Bagaimanapun, bagi 2021, MIDF Research mengunjurkan kedua-dua eksport dan import akan melantun semula masing-masing kepada +5.3 dan +6.0 peratus tahun ke tahun, disokong oleh pemulihan perdagangan antarabangsa.
-- BERNAMA
#eksport
#MIDF Research
#COVID-19
#pemulihan
#China
#pertumbuhan
#unjuran
#semak semula
#firma penyelidikan
#import
#perdagangan antarabangsa