Pemulihan ekonomi China dijangka dorong ringgit di paras 4.25 minggu depan

Bernama
Februari 4, 2023 13:00 MYT
Prospek terhadap ringgit kekal cerah kerana sebarang pemulihan di China dilihat dapat menampan ketidaktentuan ekonomi di AS. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka diniagakan pada paras 4.25 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan berikutan sentimen optimis terhadap pemulihan ekonomi China.
Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata prospek terhadap ringgit kekal cerah kerana sebarang pemulihan di China dilihat dapat menampan ketidaktentuan ekonomi di AS.
Malah, katanya, potensi pemulihan China itu turut membantu ekonomi dan mata wang serantau termasuk ringgit biarpun pelabur mahu melihat pertumbuhan lebih baik di Beijing sebelum bertindak menyalurkan lebih banyak dana ke Asia yang mampu mengukuhkan ringgit dan mata wang lain di Asean.
"Apa yang kita lihat sekarang adalah dolar AS yang lebih ketara dan sama ada korporat yang memegang dolar itu di peringkat tempatan serta di AS akan melepaskan baki mata wang tersebut.
"Ini akan menjadi titik perubahan ke atas sentimen membabitkan dolar AS dan ringgit dapat mengukuh semula," katanya kepada Bernama.
Innes juga menjangkakan ringgit-dolar AS mencecah paras 4.27 berikutan peningkatan turun naik pasaran yang bergantung kepada data gaji bukan perladangan AS.
Sementara itu, Kenanga Research mengunjurkan ringgit mungkin diniagakan dalam lingkungan 4.24 hingga 4.28 berikutan ketidaktentuan pasaran yang mereda selepas mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS berakhir.
"Di peringkat tempatan, ringgit sebaliknya akan dipengaruhi oleh pengumuman data penting dan petunjuk makroekonomi seperti keluaran dalam negara kasar bagi suku keempat pada 10 Februari.
"Sebarang angka yang lebih tinggi daripada jangkaan akan terus memberi rangsangan terhadap pengukuhan ringgit," katanya dalam nota tinjauannya, hari ini.
Cabang penyelidikan Kenanga Investment Bank berkata hala tuju pergerakan ringgit juga berpandukan kepada maklumat gaji bukan perladangan AS.
Dalam pada itu, ringgit mengakhiri minggu dagangan singkat dengan lebih rendah menjelang pengumuman data gaji bukan perladangan AS dan sentimen keseluruhan kekal lemah berikutan persekitaran ekonomi yang tidak menentu.
Bagi asas perbandingan mingguan, ringgit susut berbanding dolar AS kepada 4.2565/2610 pada akhir urus niaga semalam berbanding 4.2410/2475 pada seminggu sebelumnya.
Unit tempatan itu bagaimanapun lebih mengukuh berbanding mata wang lain berbanding minggu lepas.
Ia meningkat berbanding pound Britain pada 5.2125/2180 daripada 5.2453/2533, naik berbanding dolar Singapura kepada 3.2475/2514 daripada 3.2498/2534 dan mengukuh berbanding euro pada 4.6519/6568 daripada 4.6685/6735.
Ringgit sebaliknya susut berbanding yen Jepun kepada 3.3106/3147 daripada 3.2658/2711.
-- BERNAMA
#Stephen Innes #Kenanga Research #China #ringgit-dolar AS
;