Pemimpin korporat AS sokong had hutang digantung
Astro Awani
Oktober 7, 2021 08:56 MYT
Oktober 7, 2021 08:56 MYT
PRESIDEN Joe Biden pada Rabu terus berusaha memastikan undian untuk menggantung had hutang Amerika Syarikat (AS) berjaya.
Kali ini, beliau turut menggesa pemimpin korporat menyuarakan sokongan kepada penggantungan had hutang tersebut.
Menurutnya, jika had hutang tidak digantung pada 18 Okt ini, Amerika dijangka mungkir hutang dan ia akan mempengaruhi ekonomi dan kewangan negara ekonomi terbesar dunia itu.
Turut menyuarakan sokongan terhadap penggantungan had hutang tersebut adalah JP Morgan Chase dan Citi.
"Kita perlu selesaikan masalah ini dengan cepat. Setiap hari, penangguhan akan akibatkan kos yang lebih tinggi, seperti yang kita lihat di pasaran pada Jumaat lepas.
"Amerika tidak boleh mungkir hutang kerana Bon Perbendaharaan AS adalah asas sistem kewangan kita di dalam negara dan di seluruh dunia.
"Dan kegagalan akan menyebabkan kesan berterusan terhadap kredibiliti AS di kalangan pelabur dan pasaran kewangan di seluruh dunia," kata CEO Citi, Jane Fraser, di Washington.
Sebelum ini kumpulan Republikan mengugut akan mengganggu atau menghalang proses penggantungan had hutang berkenaan.
Menurut Setiausaha Perbendaharaan Janet Yellen, Perbendaharaan Amerika akan mula kekurangan wang selepas 18 Okt dan ia tidak mencukupi untuk membayar hutang negera.
Jika ini berlaku, kepercayaan dan keyakinan kepada matawang dolar Amerika dan hutang perbendaharaan akan terjejas.
Ia akan meningkatkan kadar faedah serta mengehadkan akses kepada pinjaman dan ini akan menjejaskan proses pemulihan, mengakibatkan Amerika terjerumus ke dalam krisis ekonomi.