Pemegang saham Encorp jual kepentingan kepada Felda Investment

Bernama
Mei 6, 2014 18:04 MYT
Bursa Malaysia
Lavista Sdn Bhd dan Pegang Impian Holdings Sdn Bhd, pemegang saham utama Encorp Bhd, akan menjual 49.45 peratus kepentingan dalam Encorp kepada Felda Investment Corporation Sdn Bhd dengan harga RM239.72 juta.
Dalam satu pengumuman kepada Bursa Malaysia, Encorp berkata pemegang saham utama itu menandatangani perjanjian jual beli bersyarat berasingan dengan Felda Investment Corporation hari ini.
Menurut perjanjian itu, Lavista akan menjual 29.85 peratus modal saham terbitan dan berbayarnya dalam Encorp tidak termasuk saham-saham perbendaharaan, 8.33 juta waran lima tahun yang diterbitkan oleh Encorp dan 16.66 juta stok pinjaman bercakap boleh tukar boleh tebus (RCSLS) enam peratus lima tahun dengan nilai nominal RM1.00 setiap satu yang diterbitkan oleh Encorp dengan harga RM133.69 juta.
Pegang Impian Holdings akan menjual 19.60 peratus daripada modal saham terbitan dan berbayar dalam Encorp, tidak termasuk saham-saham perbendaharaan, 10.47 juta waran dan 20.94 juta RCSLS dengan harga RM106.03 juta.
"Apabila selesai cadangan penjualan itu, Felda Investment Corporation akan memegang 49.45 peratus modal saham terbitan dan berbayar Encorp setakat 23 April, 2014 tidak termasuk saham-saham perbendaharaan," kata Encorp.
Dengan demikian, Felda Investment Corporation akan berkewajipan membuat tawaran pengambilalihan mandatori untuk membeli semua baki saham berkuasa mengundi yang belum lagi dipegang oleh Felda Investment dan orang yang bertindak bersamanya di bawah Tatacara Pengambilalihan dan Penggabungan Malaysia 2010.
Felda Investment Corporation, cabang pelaburan Lembaga kemajuan Tanah Persekutuan, mestilah membeli saham-saham Encorp yang mungkin diterbitkan berikutan pelaksanaan waran-waran terkumpul atau penukaran RCSLS yang belum ditebus sebelum tawaran pengambilalihan waran mandatori itu dimuktamadkan.
Ia juga mesti membeli dengan harga tawaran tunai RM1.55 bagi setiap saham tawaran, 55 bagi setiap waran tawaran dan RM1.55 bagi setiap RCSLS yang ditawarkan. -- Bernama
#Encorp Bhd #Felda Investment Sdn Bhd
;