Pembukaan semula lebih banyak sektor ekonomi tingkatkan prestasi perdagangan Malaysia
Bernama
Ogos 27, 2021 05:57 MYT
Ogos 27, 2021 05:57 MYT
KUALA LUMPUR: Pembukaan semula lebih banyak sektor ekonomi dalam beberapa bulan akan datang dijangka akan menghasilkan prestasi yang lebih baik untuk perdagangan luar Malaysia, kata seorang ahli ekonomi.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata penemuan kajian mengenai eksport terbaharu menunjukkan bahawa pemulihan permintaan luaran itu adalah tidak menentu.
Prestasi perdagangan Malaysia meneruskan momentum pertumbuhannya pada bulan Julai 2021 dengan jumlah perdagangan meningkat 13 peratus tahun ke tahun kepada RM180.96 bilion.
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata eksport meningkat lima peratus kepada RM97.32 bilion manakala import meningkat 24 peratus tahun ke tahun kepada RM83.64 bilion.
Bagi bulan ke bulan, ia berkata import meningkat 0.5 peratus sementara perdagangan, eksport dan lebihan perdagangan masing-masing merosot 4.1 peratus, 7.7 peratus dan 38.5 peratus.
"Kami dapat melihat bahawa pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah memberi kesan kepada industri berasaskan eksport susulan operasi yang terhad dibenarkan dalam tempoh ini.
"Kadar vaksinasi sedang berjalan dengan baik dan lebih banyak sektor ekonomi telah dibuka semula, perdagangan luar dapat mampu mencatatkan prestasi lebih baik pada bulan-bulan mendatang," katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Prof Emeritus Barjoyai Bardai daripada Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak) berpendapat import telah meningkat apabila permintaan pengguna bertambah dan ada mungkin berlaku aktiviti simpanan stok oleh peniaga tempatan.
Beliau berkata kadar pertumbuhan perdagangan luar Malaysia untuk tempoh suku dan separuh pertama telah meningkat tetapi prestasi perdagangan berdasarkan tahap bulan ke bulan sangat membimbangkan.
"Kita dapat melihat bahawa prestasi eksport Malaysia telah melonjak sehingga bulan April, seterusnya turun pada bulan Mei sebelum naik semula pada Jun namun merosot semula pada Julai.
"Pembukaan lebih banyak sektor ekonomi akan menentukan nilai perdagangan luar Malaysia pada masa depan," katanya.
-- BERNAMA