Pembuat dasar perlu cekap, tidak terlalu terikat ke arah perubahan - Gabenor
Bernama
Februari 9, 2018 05:15 MYT
Februari 9, 2018 05:15 MYT
Pembuat dasar perlu kekal cekap dalam pendekatan terhadap dasar dan tidak terlalu terikat dengan cara sendiri sehingga mengabaikan perubahan persekitaran, kata Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Muhammad Ibrahim.
Beliau berkata, dunia akan berubah dengan kecanggihan pesat, iaitu dalam teknologi dan komunikasi serta data raya.
"Kesediaan untuk memperbaharui dan menentukan semula matlamat dasar adalah penting bagi kejayaaan pembentukan sesuatu dasar. Daripada pandangan luar, penentuan semula dasar sering dianggap regresif.
"Sebenarnya, mereka menunjukkan dasar yang bertujuan untuk mencapai lebih baik, berbanding kekurangan, responsif kepada perubahan keadaan," katanya dalam ucapan bertajuk 'Public Policy Perspective-Some Thoughts and Contemplations from a Central Banker', pada majlis makan malam sempena ulang tahun Kelab Alumni Harvard Business School Malaysia kali ke-40 di sini, pada Jumaat.
Muhammad berkata, dengan pendekatan yang sama, perniagaan mengharapkan kerajaan melonggarkan dan menyesuaikan dasar untuk memanfaatkan peluang baharu.
Beliau berkata, badan berkuasa mempunyai tanggungjawab profesional untuk menentukan semula dasar, bagaimanapun langkah itu tidak popular dalam mengekalkan kestabilan dan memanfaatkan potensi pertumbuhan terkumpul apabila wujudnya risiko atau hasil yang tidak dihasratkan.
Langkah itu memerlukan lebih banyak keyakinan, keberanian dan keazaman, katanya.
Beliau turut menggesa pembuat dasar melindungi dan menghargai bidang kuasa mereka dalam melaksanakan dasar dan tidak terkekang dengan peraturan dan pemikiran konsensus berlarutan yang diwujudkan oleh komuniti antarabangsa.
"Mereka (pembuat dasar) tidak perlu takut dalam menginstitusikan dasar yang berani jika ini dilihat sebagai wajar, dan ini penting terutama ketika berdepan tempoh mencabar yang boleh menjejaskan kelancaran sistem ekonomi dan kewangan.
"Selain itu komunikasi yang jelas dan telus juga amat perlu. Dasar tidak akan berkesan jika galakan dan pemahaman antara pembuat dasar dan awam tidak sejajar," katanya.
Muhammad juga berkata pembuat dasar sewajarnya tidak membentuk dasar awam secara pengasingan sebaliknya mereka perlu memperjelaskannya dengan berasaskan fakta, disokong oleh bukti perangkaan dan teori yang kukuh.
"Paling penting, kita tidak sepatutnya melupakan kehidupan ramai yang cuba kita bantu. Angka pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar yang kukuh akan kurang bermakna, jika ia tidak mewujudkan pekerjaan berkualiti, pengagihan pendapatan yang lebih baik dan taraf kehidupan rakyat lebih tinggi.
"Pembentukan dasar awam mesti diteruskan dengan berasaskan ekonomi yang kukuh dan mempunyai matlamat utama dalam memperbaiki kebajikan rakyat," katanya.
-- BERNAMA