Pembiayaan mikro tidak dipotong dalam bajet 2016
Najib Aroff
Januari 20, 2016 14:04 MYT
Januari 20, 2016 14:04 MYT
Kerajaan tidak mengurangkan bajet untuk aktiviti pembiayaan mikro dalam pengubahsuaian bajet 2016 yang bakal dibentangkan 28 Januari ini, kata Setiausaha Bahagian Pelaburan Strategik Kementerian Kewangan (MOF) Datuk Ahmad Badri Mohd Zahir di luar Persidangan Pembiayaan Makro ASEAN di sini hari ini.
Menurut beliau pembiayaan mikro penting untuk membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan golongan 40 peratus terbawah (B40) keluar dari garis kemiskinan.
"Pembiayaan mikro merupakan sumber baru dan salah satu tunjang ekonomi serantau. Bagi isi rumah dan individu dalam golongan B40 yang berdepan kesukaran mendapat akses kerana sokongan aset seperti hartanah (cagaran), akan mempunyai akses lebih baik kepada produk pembiayaan mikro.
"Prosedur mudah meluluskan pembiayaan mikro adalah penting untuk membolehkan PKS memanfaatkan inisiatif kemudahan dagangan yang disediakan.
"Pembiayaan mikro juga merupakan alat penting untuk membawa keluar golongan B40 dari garis kemiskinan," katanya yang membacakan teks ucapan Ketua Setiausaha MOF Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.
Kerajaan memperuntukkan lebih RM200 juta bagi menyokong aktiviti pembiayaan mikro pada 2015 menerusi pelbagai agensi, termasuk TEKUN dan Amanah Ikhtiar Malaysia.
Sementara itu Pengarah Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (ASLI) Tan Sri Ramon Navaratnam turut menyuarakan nada sama.
"Jangan potong pembiayaan mikro. Semua peruntukan harus dikekalkan atau sebarang kenaikan harus diteruskan. Kita perlu ikut tujuan kita untuk jaga orang miskin," katanya sambil berkata ubahsuai bajet harus melibatkan pemotongan peruntukan pembangunan termasuk projek yang terdedah kepada tukaran asing.
"Kita sudah lalui perkara ini sebelum ini. Pertama sukar untuk potong perbelanjaan operasi, melainkan kerajaan buang kakitangan awam dan potong bekalan api dan air.
"Jangan bermewah. Jadi cekap, jangan membazir, ambil berat Laporan Ketua Audit Negara.
"Peruntukan pembangunan sekitar RM50 bilion. Mungkin boleh potong beberapa bilion, tidak perlu potong semua projek. Buat secara berfasa.
"Kalau lima tahun projek, buat jadi 7 ke 8 tahun. Kedua, tunda projek yang mempunyai pendedahan besar terhadap tukaran asing kerana ringgit melemah," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Kerajaan memperuntukkan sejumlah RM267.2 bilion dalam Bajet 2016 dengan perbelanjaan operasi merangkumi RM215.2 bilion dan baki RM52 bilion bagi perbelanjaan pembangunan.
Ubah suai bajet 2016 bakal dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak 28 Januari ini.