Pembiayaan masih isu utama pembelian rumah - REHDA

Nurulhana Ismail
Mac 9, 2016 08:05 MYT
REHDA: Bank Negara Malaysia (BNM) perlu mengkaji kembali polisi pengetatan pinjaman yang dikenakan - Foto Bernama
Pembiayaan perumahan kekal menjadi isu utama di kalangan pemaju dan pembeli hartanah di negara ini.
Tinjauan industri hartanah yang dilakukan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) mendapati 64 peratus responden di kalangan pemaju berdepan masalah pembiayaan akhir pada separuh pertama 2015 dan angka itu meningkat kepada 67 peratus pada separuh kedua 2015.
Manakala penolakan permohonan pinjaman bagi pembeli rumah bagi harga sekitar RM250,000 hingga RM700,000 turut menyaksikan peningkatan pada kadar 58 peratus.
Menurut Presiden REHDA, Datuk Seri FD Iskandar, faktor utama yang menyaksikan isu ini berterusan membelenggu industri hartanah negara adalah polisi pengetatan pinjaman oleh bank pusat.
"Bank Negara Malaysia (BNM) perlu mengkaji kembali polisi pengetatan pinjaman yang dikenakan terutama melihat portfolio pinjaman yang dapat memberikan nilai tambah kepada aset pengguna pada jangka panjang dan salah satunya adalah aset hartanah," ujar beliau pada sidang media laporan tinjauan industri perumahan separuh kedua 2015 serta unjurannya bagi 2016 di Petaling Jaya pada Rabu.
Beliau berkata berdasarkan tinjauan juga mendapati 84 peratus pembeli perumahan membeli dengan tujuan mendiami rumah. Sehubungan itu beliau menolak spekulasi sesetengah pihak bahawa majoriti pembeli adalah kalangan spekulator hartanah yang mahu menaikkan harga pasaran.
Tambahnya, pembiayaan kewangan turut menjadi faktor utama unit perumahan tidak terjual bagi separuh kedua 2015 diikuti kuota Bumiputera yang tidak dikeluarkan, kurangnya minat pembelian dan permintaan selain lokasi kurang strategik.
Pada separuh pertama 2015 sebanyak 78 peratus unit tidak terjual kebanyakannya terdiri daripada kawasan Selangor, Johor dan Pahang. Angka itu bagaimanapun menyaksikan pengurangan sebanyak 12 peratus pada separuh kedua 2015 dengan 62 peratus unit tidak terjual dalam tempoh itu.
#Bank Negara #BNM #housing #REHDA #rumah