Pembiayaan Islam dijangka berkembang 11 peratus pada 2019 - RAM Ratings
Bernama
Mac 26, 2019 13:33 MYT
Mac 26, 2019 13:33 MYT
Pertumbuhan pembiayaan Islam dijangka berkembang kira-kira 10-11 peratus pada 2019 dengan perbankan Islam kekal menjadi teras pertumbuhan sektor perbankan Malaysia secara keseluruhannya, menurut RAM Rating Services Bhd (RAM Ratings).
Dalam edisi terbaru penerbitan tahunannya, Islamic Banking Insight, RAM Ratings berkata perbankan Islam berkembang lebih pantas daripada pinjaman konvensional pada 2018, iaitu pada 11 peratus daripada 10.3 peratus pada 2017, berbanding pertumbuhan pinjaman konvensional pada 3.3 peratus pada 2018.
"Pada akhir Januari 2019, pembiayaan Islam merangkumi kira-kira 32 peratus daripada keseluruhan sistem pinjaman," kata firma penyelidikan itu dalam kenyataan hari ini.
RAM Ratings, bagaimanapun, menyatakan pembiayaan Islam mungkin mengambil masa lebih lama untuk mencapai sasaran 40 peratus dalam keseluruhan sistem pinjaman pada 2020 seperti ditetapkan Bank Negara Malaysia (BNM).
"Walaupun ia mungkin mengambil masa lebih lama untuk mencapai sasaran 40 peratus, industri perbankan Islam telah mencatatkan kejayaan dari segi kematangan dan suasana pasaran," kata Ketua Bersama Penarafan Insititusi Kewangan, Wong Yin Ching.
Sementara itu, RAM Ratings mengekalkan unjuran stabil terhadap sektor perbankan Islam negara , selari dengan pandangannya terhadap sistem perbankan domestik secara menyeluruh.
Bagi 2019, firma penyelidikan itu menjangkakan pertumbuhan kewangan Islam akan berkembang sekitar bawah 10, dengan petunjuk kualiti aset kekal berdaya tahan dan menyaksikan modal kukuh.
RAM Ratings juga menjangkakan sektor itu mencatatkan unjuran stabil bagi keuntungan di sebalik pengecilan margin, profil pembiayaan akan bertambah kukuh menjelang pelaksanaan syarat nisbah pembiayaan stabil bersih (NSFR).
BNM pada tahun lepas mengumumkan rancangannya untuk melanjutkan tempoh pematuhan NSFR kepada setahun lagi sehingga 2020, walaupun bank pusat sebelum itu berhasrat melaksanakan standard baharu mudah tunai pada seawal 1 Jan, 2019.