Pembesaran terminal Westports tingkat kapasiti pelabuhan kepada 27 juta TEU
Ridauddin Daud
Disember 8, 2023 18:16 MYT
Disember 8, 2023 18:16 MYT
PUTRAJAYA: Perjanjian Tambahan Ketiga Penswastaan Pelabuhan Barat yang dimeterai pada Jumaat dijangka meningkatkan kapasiti pengendalian kontena daripada 14 juta TEU (unit bersamaan 20 kaki) kepada 27 juta TEU.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kapasiti tambahan TEU itu adalah berdasarkan unjuran konsesi baharu Pelabuhan Barat bagi tempoh 58 tahun bermula 2024 hingga 2082.
Menurutnya, konsesi baharu yang akan melibatkan pembangunan pembesaran dalam tempoh 58 tahun itu bakal mewujudkan 6,000 peluang pekerjaan sepenuh masa.
Selain itu, ia juga memberi impak ekonomi sebanyak RM55 bilion serta menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM19 billion.
“Pembangunan yang sedang dilakukan hari ini, termasuk pembesaran terminal kontena dan penggunaan teknologi hijau, adalah langkah proaktif untuk menjadikan Pelabuhan Klang sebagai pelabuhan yang canggih dan lestari.
“Saya percaya bahawa inovasi dan pembaharuan berterusan adalah penting untuk menjaga daya saing dan keunggulan Pelabuhan Klang di peringkat antarabangsa.
“Kerajaan Malaysia, melalui Kementerian Pengangkutan, komited untuk memberi sokongan penuh dalam setiap usaha pembangunan Pelabuhan Klang.
“Saya ingin menegaskan bahawa pembangunan infrastruktur maritim adalah salah satu keutamaan Kerajaan dalam meningkatkan ekonomi negara,” katanya.
Anthony berkata demikian ketika berucap pada majlis Menandatangani Perjanjian Tambahan Ketiga Penswastaan Pelabuhan Barat antara Lembaga Pelabuhan Klang dengan Westports Malaysia Sdn Bhd.
Dalam pada itu, beliau menegaskan projek pembesaran itu tiada kena-mengena dengan projek Landbridge yang diusahakan kerajaan Thailand.
Menurutnya, projek pembesaran itu telah dirancang sejak beberapa tahun lepas.
Tegasnya, Malaysia tidak harus memikirkan projek negara lain sebaiknya memberi tumpuan untuk memperkukuhkan kelebihan yang ada di negara ini.
“Jadi, itulah sebabnya kami memberi tumpuan kepada apa yang Malaysia lakukan. Apa yang negara lain buat, itu adalah perancangan dan hak masing-masing.
“Sudah tentu kita perlu mengambil berat tentang persaingan di rantau ini dan kita mesti terus mengukuhkan kelebihan daya saing kita.
“Itulah sebabnya kami memudahkan semua pelaburan swasta ini dan ini merupakan pelaburan swasta utama oleh Westport.
“Ini adalah pelaburan penting untuk negara, bukan sahaja untuk pelabuhan kerana dengan mempertingkatkan pelabuhan, ia akan menarik lebih banyak perdagangan mengalir ke negara ini,” ujarnya.