Pembeli rumah berdepan isu kemampuan beli rumah - Kajian PropertyGuru

Bernama
September 8, 2022 12:32 MYT
Kajian itu menunjukkan bahawa mereka tidak mampu membeli hartanah tanpa bantuan kewangan.- Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kajian Sentimen Pengguna oleh PropertyGuru Malaysia pada separuh kedua 2022 mendapati bakal pembeli rumah berdepan masalah kemampuan dalam usaha pemilikan rumah dengan 51 peratus responden menyedari tidak layak memohon skim perumahan mampu milik kerajaan.
Malah, kajian itu menunjukkan bahawa mereka tidak mampu membeli hartanah tanpa bantuan kewangan.
Susulan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas pada Julai dan Indeks Harga Pengguna (IHP) yang meningkat kepada paras tertinggi sehingga 4.4 peratus tahun ke tahun, PropertyGuru berkata bakal pembeli rumah mungkin akan terus berdepan isu kemampuan dan kebimbangan mengenai kemelesetan global dan kadar inflasi yang berterusan.
"Ini dibuktikan melalui Kajian Sentimen Pengguna bagi separuh kedua 2022 apabila kira-kira separuh daripada responden yang dikaji menyatakan mereka tidak layak untuk skim perumahan kerajaan dan mungkin tidak mampu untuk membeli hartanah tanpa bantuan," menurut PropertyGuru dalam kenyataan hari ini.
Dalam kajian yang dijalankan dua kali setahun itu, 73 peratus daripada responden mempunyai pemahaman yang jelas mengenai syarat kelayakan untuk perumahan mampu milik, sekali gus membuktikan bakal pembeli rumah akan terus mencari inisiatif lain perumahan kerajaan untuk membantu mereka dalam perjalanan memiliki rumah.
Pengurus Negara PropertyGuru.com.my and iProperty.com.my Malaysia, Sheldon Fernandez berkata pengguna mempunyai kesedaran yang tinggi terhadap inisiatif kerajaan dan kelayakan bagi perumahan mampu milik.
"Berikutan kemelesetan, inflasi, kenaikan harga dan kenaikan OPR yang berterusan, kami menjangkakan bakal pembeli rumah akan terus mengambil pendekatan tunggu dan lihat sehingga keseluruhan kos sara hidup kembali stabil.
"Susulan pembentangan Bajet 2023 yang akan diadakan tidak lama lagi, kami berharap terdapat peruntukan yang boleh membantu memacu pasaran hartanah dan membantu mereka yang merancang untuk memulakan perjalanan pemilikan rumah mereka," katanya.
Menurut Sheldon, kajian itu juga menunjukkan bahawa lebih 69 peratus daripada responden dalam kajian itu bercadang membeli rumah sekiranya Kempen Pemilikan Rumah kembali dilaksanakan.
-- BERNAMA
#kemampuan beli rumah #Kajian PropertyGuru #OPR #bantuan kewangan
;