Pembangunan integriti dalam perniagaan harus diberi tumpuan
Pritha Manivannan
Februari 23, 2016 17:25 MYT
Februari 23, 2016 17:25 MYT
Usaha perlu ditumpukan ke arah pembangunan integriti dalam perniagaan di Malaysia.
Menurut Pengarah Urusan Edelman Malaysia, Robert Kay, ini boleh membantu meningkatkan kepercayaan orang ramai terhadap perniagaan.
Selain integriti, Robert berkata penyusutan kepercayaan mungkin didorong oleh beberapa faktor domestik, antaranya isu politik tempatan, isu berkaitan halal dan ketelusan dalam pengurusan.
Tambahnya, walaupun terdapat penyusutan dalam kepercayaan, perniagaan Malaysia mempunyai kesanggupan dan kesungguhan untuk memperbaiki kelemahan yang sedia ada.
"Walaupun kita tidak pasti faktor tepat yang menyumbang kepada penyusutan ini, hipotesis kami adalah bahawa terdapat banyak isu domestik, isu halal, dan isu ketelusan dalam pengurusan," kata Robert.
Beliau berkata bagi meningkatkan lagi kepercayaan orang ramai serta pekerja, ketua pegawai eksekutif syarikat Malaysia harus lebih dekat dengan pekerja.
"Mereka harus mengambil bahagian dan berkongsi pengalaman peribadi serta cabarannya.
"Ia mungkin susah tetapi data menunjukkan jika ia dilakukan, mereka akan mendapat manfaat yang secukupnya," kata Robert.
Beliau berkata demikian selepas mengumumkan hasil laporan kajian Edelman Trust Barometer 2016 di Publika pada Selasa.
Kaji selidik ini mendapati kepercayaan orang awam terhadap perniagaan menyusut dua mata ke 58 peratus tahun ini berbanding 2015, manakala kepercayaan golongan berpendidikan terhadap perniagaan kekal pada 67 peratus.
Bagaimanapun daripada empat sektor yang dikaji, perniagaan menduduki tempat kedua dari segi kepercayaan diikuti media dan kerajaan.
Kepercayaan terhadap NGO semakin meningkat dalam kalangan orang awam iaitu 69 peratus dan golongan berpendidikan iaitu 71 peratus, menurut hasil kajian Edelmen.
Keyakinan orang ramai
Sementara itu, Pengarah Urusan Edelman Malaysia, Robert Kay, berkata pencapaian 5 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2015 bakal menambah baik sentimen perniagaan dalam negara.
"Malaysia telah menikmati kestabilan ekonomi selama ini. Kita mempunyai kekayaan sumber semulajadi. Jika ekonomi tidak baik, kemungkinan besar keyakinan juga akan menyusut.
"Pencapaian 5 peratus KDNK, saya rasa ia meningkatkan keyakinan bahawa negara boleh kekal kukuh pada masa yang sukar," kata Robert.
Golongan muda
Sementara itu, golongan muda harus diberi peranan yang penting dalam organisasi syarikat.
Menurut Ketua Perniagaan Pengguna Maxis Malaysia, Dushyanthan Vaithiyanathan, ini kerana mereka adalah kelompok yang menentukan hala tuju masa depan.
"Saya rasa wujud perubahan yang besar dalam cara penggunaan internet dan secara jelas, golongan muda adalah golongan yang mempengaruhi perubahan ini.
"Lebih banyak syarikat harus mengambil pekerja golongan muda dan mereka harus mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk golongan ini supaya mereka berasa berkebolehan untuk menyumbang serta diberi kuasa dalam membuat keputusan," kata Dushyanthan.