Pemasangan sistem rel RTS Link JB-Singapura bermula hujung 2024
Bernama
November 29, 2024 17:30 MYT
November 29, 2024 17:30 MYT
JOHOR BAHRU: RTS Operations Pte Ltd (RTSO), syarikat usaha sama yang ditubuhkan antara Prasarana RTS Sdn Bhd dan SMRT RTS Pte Ltd Singapura, akan memulakan pemasangan sistem rel untuk Projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura menjelang akhir tahun ini.
Dalam satu kenyataan bersama hari ini, MRT Corporation, Penguasa Pengangkutan Darat Singapura dan RTS Johor-Singapura berkata kerja-kerja infrastruktur di sebelah Malaysia sudah 93 peratus siap dengan akses awal diberikan untuk pemasangan landasan bermula September 2024.
Kemajuan RTS Link untuk bahagian Singapura telah melebihi empat perlima daripada keseluruhan infrastruktur awam dengan jejambat hampir siap dan kerja-kerja seni bina akan diteruskan.
"RTSO bersedia untuk memulakan pemasangan sistem rel RTS Link mulai akhir 2024. Ini termasuk memasang landasan untuk RTS Link serta sistem isyarat, komunikasi, kawalan penyeliaan bersepadu dan sistem bekalan kuasa," menurut kenyataan itu.
Ia berkata penambahbaikan estetika, termasuk jejambat bercirikan estetika yang melambangkan hubungan dua hala, juga telah disiapkan.
Dijadualkan siap menjelang Disember 2026, RTS Link akan menghubungkan Bukit Chagar ke Woodlands North dengan masa perjalanan selama lima minit.
Dengan kapasiti puncak 10,000 penumpang sejam setiap hala, RTS Link bertujuan meningkatkan ketersambungan rentas sempadan dan memupuk hubungan Malaysia-Singapura yang lebih kukuh.
Projek ini juga meliputi kemudahan Kastam, Imigresen dan Kuarantin yang ditempatkan bersama untuk memastikan proses pelepasan penumpang yang lancar.
-- BERNAMA