Pemaju tidak perlu ghairah bina rumah mewah - Abdul Rahman
Bernama
September 18, 2015 23:37 MYT
September 18, 2015 23:37 MYT
Pemaju perumahan perlu memberi penekanan kepada pembinaan rumah mampu milik buat rakyat daripada terlalu ghairah membangunkan projek berkonsep gaya hidup moden yang menjanjikan keuntungan lumayan.
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata pembinaan rumah dengan spesifikasi moden dan mewah merupakan antara faktor harga rumah melambung tinggi.
"Iklan jualan perumahan sering menjanjikan kehidupan mewah dan canggih dengan fasiliti seperti kolam renang, gelanggang tenis, jakuzi, gimnasium serta landskap tasik yang cantik.
"Bayangkan kos yang terpaksa dibayar untuk 'gaya hidup' tersebut?, memandangkan harga jualan rumah sudah tentu mengambil kira kos pembinaan," katanya dalam satu kenyataan di sini Jumaat.
Abdul Rahman berkata majoriti rakyat mahukan rumah yang selesa dengan harga yang berpatutan untuk dimiliki, bukannya taman perumahan yang terlalu canggih dan mahal dengan gaya hidup Barat sehingga membebankan pembeli.
"Ini tidak bermaksud pemaju perlu mengetepikan permintaan terhadap rumah yang menjanjikan gaya hidup moden dan canggih, tetapi perlu mempertimbangkan keperluan majoriti rakyat dan bukan hanya melihat kepada keuntungan atau pelaburan semata-mata," tambah kenyataan itu.
Abdul Rahman berkata beliau berharap perumahan mampu milik akan menjadi antara agenda utama Bajet 2016 yang akan dibentangkan pada Oktober depan dan telah mengusulkan agar lebih banyak peruntukan diberikan bagi Projek Perumahan Rakyat (PPR), program My Home, Rumah Transit dan penyelenggaraan rumah kos rendah.