Pelupusan tanah di Miami milik Genting bernilai AS$1.22 bilion tidak diteruskan, dibuka untuk bidaan

Bernama
Jun 22, 2023 04:30 MYT
Menurut GenM, nilai pelaburannya di Miami meningkat kira-kira 400 peratus dalam masa hanya sedekad dan yakin dengan kekuatan dan pertumbuhan berterusan pasaran Miami. - Gambar fail/Facebook.com/ResortsWorldGenting
KUALA LUMPUR: Genting Malaysia Bhd (GenM) mengumumkan Smart Miami City LLC telah membatalkan bidaannya untuk tanah milik anak syarikat penuh GenM, Resorts World Miami LLC di Miami.
Pada 27 April, GenM berkata, Resorts World Miami telah memeterai perjanjian jual beli (SPA) bersyarat dengan Smart Miami City untuk pelupusan empat bidang tanah, secara kolektif dikenali sebagai Miami Herald Land di Miami, Amerika Syarikat dengan harga US$1.22 bilion (US$1=RM4.64).
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Khamis, ia berkata, Smart Miami City telah memohon pelanjutan tempoh eksklusif dan meminta pindaan kepada syarat komersial SPA berhubung dengan cadangan pelupusan.
"Bagaimanapun, permintaan pembeli tidak diberikan pada masa ini dan oleh itu pembeli telah memilih untuk menamatkan bidaan semasanya.
"Namun begitu, pembeli tetap berminat dengan tanah berkenaan," katanya.
Berkeluasan kira-kira 6.26 hektar, tanah itu terletak berhampiran dengan kawasan komersial, kediaman dan membeli-belah di Miami, Florida.
Menurut GenM, nilai pelaburannya di Miami meningkat kira-kira 400 peratus dalam masa hanya sedekad dan yakin dengan kekuatan dan pertumbuhan berterusan pasaran Miami. - BERNAMA
#Bursa Malaysia #pelupusan tanah #Genting #Miami
;