Pelantikan Shamsiah mencerminkan institusi yang positif - Pakar Ekonomi
Nursyazwani Saiful Sham
Jun 23, 2018 17:33 MYT
Jun 23, 2018 17:33 MYT
Ketua Pakar Ekonomi Alliance Bank, Manokaran Motain, menyifatkan pelantikan Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) sebagai sesuatu yang positif.
Manokaran yang mengenali Shamsiah secara peribadi yakin beliau akan memastikan kestabilan sistem kewangan Malaysia demi kepentingan negara sebaik sahaja menggalas tugas tersebut yang berkuat kuasa 1 Julai ini.
“Saya merasakan pelantikan itu adalah positif kerana pada waktu ini kita memerlukan keputusan yang muktamad. Kita memerlukan institusi yang kukuh buat dasar kewangan.
“Nor Shamsiah telah bersama BNM sejak 1987. Saya mengenali beliau secara peribadi dan beliau adalah seorang yang tegas. Saya percaya pengumuman ini akan dapat membaik pulih kestabilan sistem kewangan Malaysia,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI, di sini pada Sabtu.
Terdahulu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan pelantikan Nor Shamsiah setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong pada 18 Jun lalu untuk tempoh lima tahun hingga 30 Jun 2023.
Lantikan ini menjadikan Nor Shamsiah wanita kedua dilantik ke jawatan penting itu selepas Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.
#Bank Negara Malaysia
#BNM
#Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus
#Gabenor Bank Negara Malaysia
#Lim Guan Eng
#Yang di-Pertuan Agong
#Zeti Akhtar Aziz