Pelantikan baharu jawatan utama selaras pelaksanaan TERAS 5 KWAP

Kenyataan Media
Oktober 5, 2022 07:31 MYT
KWAP mengumumkan pelantikan Haizad Rizal A Aziz (kiri) dan Maz Mirza Mohd Aminurashid sebagai Ketua Pegawai Kewangan dan Ketua Pegawai Digital baharu.- Foto KWAP
KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) [KWAP] hari ini mengumumkan pelantikan Haizad Rizal A Aziz dan Maz Mirza Mohd Aminurashid sebagai Ketua Pegawai Kewangan dan Ketua Pegawai Digital baharu KWAP, berkuatkuasa 3 Oktober 2022.
Haizad Rizal mempunyai pengalaman luas menjangkau lebih 20 tahun dengan kepakaran dalam membuat keputusan korporat, penambahbaikan perniagaan, pembangunan strategi kewangan, memacu transformasi, dan tanggungjawab fiskal, integriti dan ketelusan.
Beliau pernah bertugas selama sedekad di Ireland dan sekembalinya ke tanahair, beliau memegang pelbagai jawatan penting dalam Kumpulan Perbankan RHB, dan seterusnya dilantik menjadi Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan di Kumpulan Syarikat Johawaki. Sebelum menyertai Sime Darby Oils pada November 2021 dengan memegang jawatan yang sama, beliau juga merupakan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan di SME Bank.
Haizad Rizal merupakan Felo Institut Akauntan Bertauliah (Institute of Chartered Accountants, ICAI), Ireland dan memegang ijazah BA (Kepujian), Perakaunan dan Kewangan dari Dublin Business School. Beliau juga telah berjaya menamatkan Program Lanjutan Pengurusan dan Kepimpinan Oxford (Advanced Management and Leadership Programme, OAMLP) di Said Business School, University of Oxford, United Kingdom.
Maz Mirza mempunyai pengalaman selama 25 tahun dalam bidang Teknologi Maklumat dan Keselamatan Siber. Beliau telah berkhidmat sebagai Ketua Teknologi Maklumat di Puspakom sebelum menyertai Mass Rapid Transit Corporation (MRT Corp) sebagai Ketua Jabatan Teknologi Maklumat. Pada awal kerjayanya, beliau juga telah berkhidmat di beberapa anak syarikat Kumpulan Sime Darby selama 13 tahun.
Maz Mirza merupakan pemegang ijazah kepujian Sains Komputer dari University of Cambridge pada tahun 1997.
Nik Amlizan Mohamed, Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, berkata, “Dengan pengalaman dan pemahaman mereka yang mendalam tentang keperluan bagi pertumbuhan mampan, KWAP yakin bahawa TERAS 5, yang bertujuan untuk mengukuhkan asas KWAP di dalam menghadapi masa hadapan, akan disokong dan mampu dicapai di bawah kepimpinan yang berdedikasi dan berkebolehan tinggi.”
TERAS 5 adalah sebahagian daripada pelan jangka panjang KWAP untuk memastikan komponen yang tepat disediakan untuk menyokong pertumbuhan yang mampan bagi memanfaatkan pesara hari ini dan juga pada masa hadapan.
TERAS 5 merupakan program tiga tahun yang berasaskan lima tunggak utama iaitu Struktur, Tadbir Urus, Modal Insan, Proses dan Digital yang akan memacu lapan aliran kerja.
#KWAP #Haizad Rizal A Aziz #Maz Mirza Mohd Aminurashid #pelantikan