Pelan penstrukturan semula PN17 Capital A dapat kelulusan Bursa Malaysia

Bernama
Mac 7, 2025 06:15 MYT
Tony berkata, syarikat tersebut membuat perubahan besar ke arah mengukuhkan kekuatan kewangan dan kecemerlangan operasinya. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Capital A Bhd mengumumkan Bursa Malaysia Securities Bhd telah meluluskan pelan penstrukturan semulanya, menandakan satu langkah penting bagi syarikat itu untuk keluar daripada status Nota Amalan 17 (PN17).
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Tony Fernandes berkata, Capital A menumpu untuk membina semula asas kewangannya dan dengan pengumuman itu, syarikat tersebut membuat perubahan besar ke arah mengukuhkan kekuatan kewangan dan kecemerlangan operasinya.
"Kami komited sepenuhnya untuk melaksanakan rancangan itu dan memberikan nilai yang lebih besar kepada semua pemegang kepentingan kami, termasuk pelanggan kami dan Allstars (kakitangan) kami yang luar biasa, yang tidak pernah berputus asa," katanya dalam satu kenyataan.
Kelulusan daripada Bursa Securities yang diberikan menerusi surat rasmi bertarikh 7 Mac 2025, , memberi ruang kepada Capital A menyelesaikan penstrukturan semula dan memulihkan kedudukan kewangannya.
Syarikat itu terus komited untuk mengembangkan enam perniagaan terasnya iaitu Asia Digital Engineering (ADE), Teleport (Logistics), AirAsia MOVE, Santan, BigPay dan Abc. International.
"Pencapaian ini mencerminkan transformasi Capital A daripada syarikat yang mengalami masalah kewangan kepada kumpulan dengan perniagaan yang tangkas, dipacu teknologi yang bersedia untuk memanfaatkan peluang baharu dalam penerbangan, kejuruteraan, logistik, perjalanan digital dan pengurusan jenama," katanya. - BERNAMA
#Bursa Malaysia #Capital A #PN17 #perjalanan digital
;