Pelan pemulihan Malaysia Airlines berjalan lancar
Bernama
Januari 13, 2017 23:15 MYT
Januari 13, 2017 23:15 MYT
Malaysia Airlines Bhd (MAB) mencatat prestasi lebih baik pada 2016 dan momentumnya dijangka berterusan pada tahun ini, didorong oleh Pelan Pemulihan 12 Perkara MAS (MRP), kata Khazanah Nasional Bhd.
Khazanah merupakan pemegang saham tunggal MAB.
Pengarah Urusan Khazanah, Tan Sri Azman Mokhtar juga yakin selepas 28 bulan pelaksanaannya, pelan pemulihan lima tahun itu berjalan lancar mengikut jadual ditetapkan.
"Ia (MAB) mencatat perkembangan yang baik. Insya-Allah, tahun depan atau tahun berikutnya...malah MAB sendiri sudah mengumumkan bahawa ia berada di landasan tepat untuk mendapat pulangan modal dan untung," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai prestasi kewangan dan strategik Khazanah bagi tahun 2016 serta prospek 2017, di sini, hari ini.
Pada Ogos 2014, Khazanah yang juga sayap pelaburan kerajaan, mengumumkan MRP bernilai RM6 bilion dalam usaha membolehkan MAB kembali mencatat keuntungan serta menghidupkan semula syarikat penerbangan nasional berkenaan.
Pelan itu termasuk mengurangkan sehingga 30 peratus daripada 20,000 tenaga kerjanya serta memperkenalkan entiti baharu yang disusun semula dan kini dikenali sebagai MAB.
Pada 1 Julai, 2016, MAB melantik Ketua Pegawai Operasinya, Peter Bellew untuk menggantikan Christoph Mueller sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharu.
Mengulas prestasi ringgit bagi tempoh sepanjang 2016, Azman juga yakin bahawa ringgit jelas sekali dinilai lebih rendah.
"Sama ada (kadar susut nilai adalah) 10 peratus, lapan peratus atau 12 peratus, kami yakin bahawa ringgit itu jelas sekali sudah dinilai rendah," katanya.
Malah, katanya, Khazanah turut melakukan penyelidikan dalaman terhadap prestasi mata wang berkenaan.
Ringgit menutup tahun 2016 pada paras paling lemah iaitu 4.4845/4875 berbanding dolar AS daripada 4.2900/2970 yang dicatatkan pada 31 Dis, 2015.
Nilai tertinggi dicatatkan adalah 3.8660/8720 berbanding dolar AS pada 20 April, 2016.
Ia ditutup pada paras 4.4600/4640 berbanding dolar AS hari ini daripada 4.4560/4600 pada Khamis.
Merujuk prospek pemulihan ringgit, Azman berkata : "Isunya adalah tempoh untuk ringgit, bergantung kepada jangka masa serta dasar kadar faedah (khususnya dari Amerika Syarikat)."
-- BERNAMA