Pelan induk kesalinghubungan ASEAN persediaan pasca 2015
Anthea Yap
Oktober 15, 2015 09:35 MYT
Oktober 15, 2015 09:35 MYT
Wakil negara Asean akan mengenalpasti dan mencari proses terbaik dalam menyediakan Pelan Induk Kesalinghubungan (MPAC) bagi memastikan pembangunan berterusan rantau ini pasca 2015.
Kementerian Luar Negeri berkata, ia akan dibincangkan menerusi platform Simposium Kesalinghubungan Asean ke-6 pada Jumaat di ibu negara.
Katanya, perbincangan pelan itu akan membabitkan wakil kerajaan, rakan dialog, sektor swasta, ahli akademik dan pertubuhan-pertubuhan antarabangsa termasuk organisasi sub-serantau serta para penggubal dasar negara serantau.
"Antara isu yang dibincangkan dalam simposium itu adalah mengenalpasti kelemahan dalam pelaksanaan MPAC serta mencari pendekatan terbaik dalam mengatasi kelemahan tersebut.
"Platform ini bakal digunakan bagi mempergiat serta meningkatkan kesedaran orang awam berkenaan kepentingan Kesalinghubungan ASEAN dalam mewujudkan rantau ASEAN yang saling berhubung di antara satu sama lain," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Selasa.
Simposium yang bertemakan "Agenda Kesambungan bagi Komuniti Asean Bersepadu" dianjurkan bersama Kementerian Luar Negeri dan Institut Penyelidikan Ekonomi Asean dan Asia Timur (ERIA).