Pelan Bersepadu Pelancongan Genting dilancarkan
Harris Hardy Hakim
Disember 17, 2013 20:06 MYT
Disember 17, 2013 20:06 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan Pelan Bersepadu Pelancongan Genting, GITP yang melibatkan pelaburan berjumlah RM5 bilion oleh Genting Malaysia Bhd.
Pelan bertujuan untuk membangunkan semula pusat peranginan itu antara lain turut melibatkan pembinaan sebuah taman tema bertaraf dunia Twentieth Century Fox World bernilai RM1 bilion.
Beliau yakin pembinaan taman tema yang pertama seumpamanya di dunia itu mampu melonjakkan lagi industri pelancongan di negara ini.
Perdana Menteri dalam ucapannya turut menggesa lebih banyak sektor swasta tampil menyumbang kearah membangunkan industri pelancongan.
"Kita perlu bertanya pada diri sendiri, adakah kita sudah menyiapkan infrastrukturnya? Adakah kita bersedia untuk melabur? Adakah kita telah bersedia untuk menyerap paras pertumbuhan? Selain daripada memfokuskan kepada jumlah pengunjung, kita perlu juga melihat kaedah untuk memperbaiki sektor pelancongan dan juga menyediakan produk nilai tambah dan perkhidmatan untuk meningkatkan perbelanjaan pelancong."
Kerajaan di bawah Program Transformasi Ekonomi, ETP mensasarkan lebih 36 juta pelancong masuk ke Malaysia menjelang 2020.
Sekaligus menjana pendapatan pelancongan berjumlah RM168 bilion.
Sementara itu, Pengerusi Genting Malaysia Bhd, Tan Sri Lim Kok Thay berkata, GITP turut merancang untuk membuka sebuah lagi pusat membeli belah "Premium Outlet" di Genting Highland.
Ia merupakan sebahagian daripada pelan utama pembangunan dan pembesaran Genting dalam tempoh sepuluh tahun akan datang.