Pelaksanaan tambatan ringgit tidak sesuai ketika ini - Pakar ekonomi
Bernama
Jun 4, 2020 05:42 MYT
Jun 4, 2020 05:42 MYT
Tambatan ringgit tidak sesuai untuk dilaksanakan ketika negara sedang mengalami krisis penularan COVID-19 dan isu yang dihadapi adalah berkaitan dengan kesihatan dan ekonomi.
Penganalisis Ekonomi Prof Madya Dr Madeline Berma berkata krisis COVID-19 yang dialami bukan sahaja menjejaskan ekonomi di Malaysia malah ekonomi seluruh dunia juga turut terkesan dengan keadaan semasa.
"Kita tidak boleh menyamakan krisis kewangan yang berlaku pada tahun 1997 dan 1998 dengan krisis sekarang dan mengambil langkah menambat ringgit kerana spekulasi matawang tidak berlaku ketika ini, jadi ia tidak harus untuk dilakukan.
"Pada masa itu, berlakunya pengaliran keluar pelaburan asing secara berterusan tetapi kerajaan ketika itu mengambil langkah mengenakan sekatan secara selektif namun apa yang berlaku sekarang ini adalah berbeza, pelaburan asing tidak keluar tetapi ekonomi di seluruh dunia terhenti," katanya program Ruang Bicara bertajuk "Pelan Pemulihan Menjana Ekonomi Negara" terbitan Bernama TV di Wisma Bernama, malam tadi.
Turut hadir pada program itu ialah Bekas Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) Prof Emeritus Datuk Dr Zakariah Abdul Rashid.
Zakariah turut bersetuju dengan pendapat Madeline dan berkata tambatan ringgit tidak harus dilakukan sekarang kerana keadaan semasa matawang dolar US juga tidak diketahui.
"Krisis ekonomi yang kita hadapi pada masa lalu adalah krisis kewangan tetapi apa yang kita hadapi sekarang ini ialah ekonomi 'real sector', ia memberi kesan yang lebih banyak sehingga menyebabkan gangguan pengeluaran ekoran daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Jadi masalah yang berlaku ketika ini adalah sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini, jauh berbeza dan pada skala yang sangat besar sekali berbanding krisis kewangan sebelum ini. Kalau dahulu kita namakannya kemelesetan ekonomi namun sekarang orang ramai sudah mula bertanya adakah kita akan mengalami great depression (zaman meleset)?," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan perlu memberikan perhatian kepada perusahaan mikro dan kecil memandangkan golongan ini paling terkesan dengan impak negatif penularan COVID-19 yang secara tidak langsung menjejaskan ekonomi negara dan juga global.
Sebanyak 70 peratus daripada 98.5 peratus perusahaan kecil sederhana (PKS) di Malaysia adalah terdiri daripada perusahaan kecil dan mikro di mana mereka kebanyakannya terlibat dalam sektor perkhidmatan, katanya.
Hari ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijadual mengumumkan Pelan Pemulihan Ekonomi (ERP) jangka pendek yang menumpukan kepada tiga matlamat utama iaitu memperkasakan rakyat, merancakkan perniagaan dan merangsangkan ekonomi, ia akan membawa kepada landasan pemulihan dan pertumbuhan.
Kerajaan telah menyediakan sokongan kepada ekonomi menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat bernilai RM260 bilion.
-- BERNAMA
#COVID-19
#ekonomi
#ERP
#kemelesetan
#kerajaan
#krisis kewangan
#Madeline Berma
#pelaburan asing
#pelan pemulihan ekonomi
#pengaliran keluar
#perusahaan kecil
#perusahaan mikro
#PKP
#ringgit
#sekatan
#spekulasi matawang
#tambatan
#Zakariah Abdul Rashid