Pelaksanaan subsidi bersasar tidak beri kesan kepada pelaburan asing - Tengku Zafrul

Bernama
Mac 31, 2024 23:33 MYT
Tengku Zafrul (tengah) bercakap kepada media pada Majlis Ihya Ramadan dan Iftar Perdana di Masjid Jamek Al Ansar Felcra Changkat Lada hari ini. - Gambar Bernama
PASIR SALAK: Pelaksanaan subsidi bersasar pada masa akan datang seperti yang dipertimbangkan kerajaan tidak akan memberi kesan kepada pelaburan asing dalam negara, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Tengku Zafrul berkata pelaksanaan itu sekiranya dilakukan tidak memberi kesan kepada pelaburan asing berikutan pelabur telah melabur dalam jangka masa panjang.
Beliau berkata pelabur lebih memberi fokus kepada polisi serta dasar negara yang konsisten sebelum membuat keputusan untuk membuat pelaburan dalam negara ini.
"Contohnya saya sebut sektor semikonduktor, yang bermula pada tahun 70-an, kini sudah 50 tahun dan itulah fokus bagi pelabur kita untuk melihat bagaimana dasar-dasar, polisi negara kalau konsisten mereka akan melabur.
"Dari segi kos kita masih lagi rendah berbanding negara lain kerana kebanyakan syarikat tidak dapat subsidi bersasar. Oleh itu, walaupun subsidi itu ditarik untuk syarikat besar, mereka dan juga pelabur akan membandingkan kita dengan negara lain, dan negara kita masih lagi menarik dari segi kos," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Ihya Ramadhan dan Iftar Perdana di Masjid Jamek Al Ansar, Felcra Changkat Lada dekat sini hari ini.
Terdahulu, Tengku Zafrul menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf dan bakal jemaah haji pada majlis tersebut.
Sementara itu, mengulas berkenaan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Korea (MKFTA), beliau berkata kedua-dua pihak akan memulakan perbincangan di peringkat pegawai pada Mei depan.
"Kita bersetuju untuk memulakan rundingan sekali lagi kerana pada 2019 terdapat isu-isu yang kita rasa tidak berpihak kepada kita.
"Sebelum rundingan semula ini dilaksanakan, Korea Selatan telah bersetuju untuk beri pertimbangan dan memahami isu-isu sensitif terutama dalam sektor yang kita rasa penting dalam negara. Mungkin lepas mesyuarat Mei ini saya boleh maklumkan semula," katanya.
Pada 26 Mac, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam kenyataan memaklumkan Malaysia dan Korea Selatan menyambung semula MKFTA yang dijangka mampu meningkatkan perdagangan dan pelaburan dua hala antara kedua-dua negara.
Menurut MITI, kedua-dua negara turut menyertai Perjanjian Perdagangan Bebas Asean-Korea dan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau.
Mengulas berkaitan stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) dalam negara, Tengku Zafrul berkata perbincangan beliau dengan pihak industri mendapati mereka yakin dapat mencapai sasaran yang ditetapkan sebelum ini dan membina lebih banyak stesen pengecas atas faktor permintaan yang tinggi.
"Saya cuba pastikan kita dapat mencapai sasaran (yang ditetapkan)," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Tengku Zafrul berkata MITI akan meneliti semula sasaran 10,000 stesen pengecas EV beroperasi di negara ini menjelang 2025 seperti yang ditetapkan sebelum ini.
-- BERNAMA
#kenderaan elektrik #subsidi bersasar #pelaburan asing #dasar negara
;