Pelaksanaan semula PKP tidak memberi kesan secara ketara kepada hartanah - iProperty.com
Bernama
Mei 7, 2021 19:00 MYT
Mei 7, 2021 19:00 MYT
KUALA LUMPUR: Kesan pelaksanaan semula perintah kawalan pergerakan (PKP) tidak akan memberi kesan yang ketara kepada semua sektor ekonomi termasuk sektor hartanah yang dibenarkan beroperasi, kata iProperty.com Malaysia Sdn Bhd.
Pengurus Besarnya, Shylendra Nathan berkata sebagai tambahan, pengumuman Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 1.75 peratus adalah tepat pada masanya kerana setiap ringgit penting bagi setiap rakyat Malaysia dalam perbelanjaan isi rumah dan mendapatkan keperluan penting.
"Beberapa ratus ringgit yang dijimatkan untuk ansuran bulanan pinjaman rumah akan memberi lebih banyak wang tunai untuk perbelanjaan keperluan seperti makanan, ubat-ubatan, dan penjagaan anak.
"Bagi tuan tanah, OPR yang rendah akan membantu mereka menjimatkan wang terutama ketika pergerakan terbatas mengakibatkan kesukaran mencari penyewa," katanya dalam satu kenyataan.
Tambahan pula, kelebihan kos pembiayaan yang lebih rendah akan membantu mengimbangi penurunan pendapatan sewa, manakala penyewa masih berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk merundingkan harga sewa dan ini telah ditunjukkan dalam penurunan hasil sewa.
Shylendra berkata minat terhadap hartanah adalah memberangsangkan walaupun dalam persekitaran pandemik COVID-19, apabila lebih banyak pencari hartanah beralih ke platform digital seperti iProperty.com.my untuk mencari rumah impian mereka.
"Kami percaya trend ini akan berterusan apabila lebih ramai rakyat Malaysia beralih kepada kemudahan dan keselamatan platform digital untuk pencaraian hartanah mereka. Hari ini, platform digital sangat penting dalam membantu pencari hartanah dalam membuat keputusan yang tepat, sama ada membeli atau menyewa," katanya.
-- BERNAMA
#PKP
#perintah kawalan pergerakan
#hartanah
#ekonomi
#iproperty
#Shylendra Nathan
#Bank Negara Malaysia
#BNM