Pelaksanaan projek HSR dengan baik adalah penting - PM Singapura

Bernama
Julai 20, 2016 10:04 MYT
Lee berada di Malaysia pada Selasa untuk menyertai Datuk Seri Najib menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) projek HSR yang mengesahkan komitmen Kuala Lumpur-Singapura. - Foto Astro AWANI
Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong menyifatkan pelaksanaan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur- Singapura (HSR) dengan baik serta lancar adalah sesuatu yang amat penting.
Sehubungan itu, beliau memberi jaminan untuk bersama rakan sejawatannya dari Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak, dalam menumpukan sepenuh perhatian supaya projek mega itu dapat dilaksanakan dengan betul.
"(Projek) HSR itu adalah pelaburan besar dan berjangka panjang. Kelancaran pelaksanaannya adalah amat penting.
"Kita perlu bekerjasama secara erat dalam banyak keputusan bersama serta isu (membabitkan) pelaksanaannya. Datuk Seri Najib dan saya akan memberi sepenuh perhatian terhadapnya kerana kita mahu projek besar ini dilaksanakan dengan betul," kata Lee menerusi catatan terbaharu Facebook beliau, pada Selasa.
Lee berada di Malaysia semalam untuk menyertai Datuk Seri Najib menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) projek HSR yang mengesahkan komitmen Kuala Lumpur-Singapura dalam projek penting itu.
"Najib dan saya bersetuju bagi pembangunan HSR yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura pada tiga tahun lepas. Sejak itu, para pegawai kami bertungkus lumus melewati beberapa tempoh Ramadan dan Hari Raya untuk mencapai persetujuan membabitkan isu-isu penting," katanya.
Projek HSR membabitkan landasan sepanjang 350km itu akan mengurangkan masa perjalanan kepada 90 minit antara kedua-dua bandar raya, dengan kelajuan lebih 300km/sejam.
Di Singapura, teminal HSR terletak di Jurong Timur manakala di Malaysia ia mempunyai tujuh stesen iaitu Bandar Malaysia, Putrajaya, Seremban, Ayer Keroh, Muar, Batu Pahat dan Iskandar Puteri.
"Menerusi HSR ini, rakyat akan melihat Singapura-Kuala Lumpur sama seperti London-Paris, Seoul-Busan, Taipei-Kaohsiung, Shanghai-Nanjing atau Tokyo-Osaka.
"Jika semuanya berjalan dengan baik, kereta api pertama akan memulakan perjalanannya pada sekitar tahun 2026 iaitu kira-kira 10 tahun lagi," kata Lee.
Selain catatan terbaharunya itu, Lee turut memaparkan tiga gambar bersempena lawatan separuh hari beliau ke Malaysia.
Salah satu gambar menunjukkan pertukaran dokumen MoU yang ditandatangani oleh Menteri Penyelaras bagi Infrastruktur Singapura, Khaw Boon Wan yang juga Menteri Pengangkutan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan.
Gambar lain yang tidak kurang menariknya sehingga mendapat lebih 200 "like" dalam masa kurang sejam memaparkan Lee bersama Najib.
Ia yang dirakam oleh isteri Lee, Ho Ching sewaktu majlis makan tengah hari, turut disertai keterangan gambar "Najib mempelawa saya makan lebih banyak durian sewaktu makan tengah hari. Bagaimanakah saya dapat menolaknya?"
#Abdul Rahman Dahlan #HSR #keretapi laju #Lee Hsien Loong #Malaysia-Singapura #Najib Razak
;