Pelaksanaan mandat biodiesel B10, B7 ditangguhkan - Mah

Bernama
November 15, 2016 12:58 MYT
Keputusan itu dibuat selepas kajian menyeluruh serta mengambil kira perbezaan antara harga minyak sawit mentah (MSM) dan diesel di pasaran yang tidak menentu pada masa ini. - Gambar fail
Pelaksanaan mandat biodiesel bagi program campuran 10 peratus biodiesel (B10) dalam sektor pengangkutan dan program campuran tujuh peratus biodiesel (B7) dalam sektor industi, ditangguhkan.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Mah Siew Keong berkata keputusan itu dibuat selepas kajian menyeluruh serta mengambil kira perbezaan antara harga minyak sawit mentah (MSM) dan diesel di pasaran yang tidak menentu pada masa ini.
"Kami memutuskan untuk menangguhkannya (pelaksanaan B10 dan B7) sehingga masa yang sesuai apabila jurang harga antara minyak mentah dan minyak sawit tidak terlalu besar," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Mah berkata kerajaan komited untuk memastikan tidak ada beban kos kepada rakyat.
Kerajaan bersetuju untuk mengukuhkan pelaksanaan Program Biodiesel dengan meningkatkan campuran untuk sektor pengangkutan kepada B10 dan B7 untuk sektor perindustrian, Disember tahun ini.
B10 ialah campuran 10 peratus biodiesel sawit dengan 90 peratus petroleum diesel manakala B7 membabitkan campuran tujuh peratus biodiesel sawit dengan 93 peratus diesel petroleum. -- Bernama
#B10 #B7 #Bio Diesel #mah siew keong
;