Pelaksanaan 5G di peringkat global dipercepat pada 2020 meskipun pandemik - Nokia

Bernama
Disember 7, 2020 07:47 MYT
Memandangkan Malaysia menilai dan mempertimbang pendekatan ke arah pengagihan spektrum 5G, ia memberi peluang untuk memastikan lebih banyak jalur spektrum ketika dilancarkan.
KUALA LUMPUR: Pelaksanaan teknologi generasi kelima (5G) di peringkat global telah dipercepatkan sepanjang tahun ini di sebalik jangkaan bahawa banyak kerajaan akan menangguhkan rancangan 5G mereka akibat pandemik COVID-19, demikian menurut Nokia.
Pengarah Urusan Nokia bagi Malaysia dan Sri Lanka, Datuk Sivananthan Shanmugam berkata sehingga 3 Disember 2020, gergasi telekomunikasi (telco) telah menjalankan 184 keterlibatan komersial 5G dan 133 perjanjian komersial 5G dan memperkasa 39 rangkaian operator 5G secara langsung di seluruh dunia.
"Jumlah itu telah meningkat dengan ketara sepanjang 2020, menyokong momentum dalam industri telco.
"Ketersambungan tanpa wayar berlatensi rendah yang boleh dipercayai diperlukan untuk membantu masyarakat, perniagaan dan kerajaan menyesuaikan kepada suasana bekerja jarak jauh baharu, di samping meningkatkan produktiviti ekonomi," katanya kepada Bernama di sini.
Sivananthan berkata, memandangkan Malaysia menilai dan mempertimbang pendekatan ke arah pengagihan spektrum 5G, ia memberi peluang untuk memastikan lebih banyak jalur spektrum ketika dilancarkan.
"Sehubungan itu, kami menyokong langkah kerajaan untuk memastikan semua rakyat di negara ini akan menerima manfaat daripada kualiti dan liputan jalur lebar, seperti yang dilakukan menerusi Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara dan Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela)," katanya.
Beliau berkata inisiatif Jendela menggariskan komitmen kerajaan untuk membangunkan infrastruktur yang diperlukan untuk memudahkan liputan lebih meluas terhadap teknologi tanpa wayar generasi masa kini di seluruh negara, dan seterusnya akan membantu mempercepatkan pelaksanaan 5G dalam masa terdekat.
Sementara itu, Sivananthan berkata, ketika ini, industri telco berdepan perubahan besar berikutan automasi industri dan pendigitalan telah meningkatkan pemintaan pelanggan terhadap jaringan berprestasi tinggi dengan trend ke arah antara muka yang terbuka, secara maya dan perisian awan asli.
"Ini bererti teknologi yang dilihat muncul seperti 5G, Internet Benda (IoT) dan kecerdasan buatan (AI) akan lebih banyak digunakan di mana-mana sahaja pada 2021.
"Ketika kita menuju kepada kebiasaan selanjutnya, teknologi tanpa wayar pada masa ini seperti 4G tidak memadai untuk membantu menyokong pemindahan data dan maklumat tanpa had," katanya.
-- BERNAMA
#telco #syarikat telekomunikasi #Nokia #5G #teknologi #komunikasi #sivananthan shanmugam #Ketersambungan tanpa wayar berlatensi rendah
;