Pelaburan Samsung SDIEM bukti keyakinan MNC pada Malaysia - MIDA
Bernama
Julai 22, 2022 08:55 MYT
Julai 22, 2022 08:55 MYT
KUALA LUMPUR: Pelaburan RM7 bilion Samsung SDI Energy Malaysia Sdn Bhd (Samsung SDIEM) menandakan keyakinan syarikat multinasional terhadap Malaysia, kata Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Arham Abdul Rahman dalam satu kenyataan berkata MIDA sentiasa mencari peluang untuk bekerjasama dan memudahkan rancangan pertumbuhan syarikat yang membawa teknologi canggih ke sini untuk memartabatkan lagi industri kenderaan elektrik (EV) dan ekosistemnya.
Pelaburan kumulatif RM7 bilion itu, RM1 bilion dalam fasa satu dan RM6 bilion dalam fasa 2, adalah lokasi pengeluaran pertamanya di Asia Tenggara dan kemudahan sel bateri EV pertama di Seremban, Negeri Sembilan.
Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata kerajaan negeri sentiasa menggalakkan kemasukan pelaburan berteknologi tinggi dan berimpak tinggi seperti Samsung SDIEM untuk memacu pertumbuhan ekonomi, seperti yang digariskan dalam Pelan Induk Konsep Bersepadu Negeri Sembilan 2021-2045.
Kerajaan negeri juga menggunakan dasar mesra pelabur untuk menarik pelaburan / pengembangan baharu melalui INVEST NS, katanya.
Jumlah pelaburan negeri itu meningkat kepada RM5.76 bilion pada 2021 daripada RM1.41 bilion pada 2017, katanya sambil menambah Negeri Sembilan adalah destinasi pilihan pelabur.
-- BERNAMA