Pelaburan Microsoft AS$2.2 bilion: Bukti keyakinan global kepada Malaysia - PM

Harits Asyraf Hasnan
Mei 2, 2024 12:35 MYT
Anwar (kanan) mengadakan perbincangan dengan dengan Satya Nadella ketika Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft itu mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri di Putrajaya, pada Khamis. - Gambar PMO
KUALA LUMPUR: Malaysia menyambut baik keputusan pelaburan dibuat Microsoft bernilai AS$2.2 bilion (RM10.5 bilion), kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Perdana Menteri, jumlah tersebut merupakan pelaburan terbesar pada satu-satu masa oleh Microsoft setelah 32 tahun bertapak di Malaysia.
"Malaysia menyambut baik keputusan pelaburan ini yang membuktikan keyakinan mereka kepada asas ekonomi negara yang kukuh, dasar-dasar yang jelas dan terarah, selain mesra pelabur dan kestabilan politik.
"Pelaburan ini selari dan akan menjadi pendukung utama kepada fokus Kerajaan dalam membangunkan kapasiti AI dalam negara," kata Anwar dalam kenyataan yang dikeluarkan.
Dalam masa sama, Perdana Menteri berharap kerjasama Malaysia dan Microsoft dapat membawa manfaat yang besar kepada negara dan rakyat keseluruhannya.
Beliau sebelum itu menerima kunjungan hormat Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft, Satya Nadella serta delegasi di pejabat beliau di Putrajaya pada Khamis.
Satya memaklumkan, gergasi teknologi Microsoft bersetuju untuk menambah pelaburan berjumlah AS$2.2 bilion dalam tempoh empat tahun mendatang.
Pelaburan ini meliputi pembangunan sistem dan infrastruktur awan (cloud system) dan Kecerdasan Buatan (AI), pewujudan peluang kemahiran AI untuk tambahan 300,000 orang, penubuhan satu Pusat Kecemerlangan AI Nasional, mempertingkat kemampuan keselamatan siber negara dan menyokong pertumbuhan komuniti pembangun sistem di Malaysia.
Usai kunjungan hormat tersebut, Anwar bersama Satya menghadiri National AI Leadership Forum.
Kedua-dua mereka sempat berdialog berkenaan perkara yang menyentuh hal teknologi merangkumi AI dan perancangan kerajaan bagi mempersiapkan negara dengan arus perubahan ini.
#pelaburan Microsoft #gergasi teknologi #PM Anwar Ibrahim #Satya Nadella
;