Pelaburan langsung domestik RM120 bilion daripada GLIC di bawah program diterajui MOF

Astro Awani
Ogos 8, 2024 11:30 MYT
Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan menyatakan melalui penglibatan menyeluruh ini, GLIC akan meningkatkan tumpuan mereka kepada pelaburan tempatan. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR : Kerajaan hari ini mengumumkan inisiatif menerusi program GEAR-uP fasa pertama diterajui Kementerian Kewangan (MOF) melibatkan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) utama.
Ia merupakan komitmen secara kolektif untuk melabur dana berjumlah RM120 bilion bagi tujuan pelaburan langsung domestik (DDI) dalam tempoh lima tahun akan datang.
Malah, ia juga melibatkan siri pelaburan GLIC di dalam pasaran modal awam yang bernilai RM440 bilion.
MOF dalam satu kenyataan pada Khamis menjelaskan, pelaburan ini disasarkan kepada industri-industri yang memiliki pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi seperti sektor peralihan tenaga dan pembuatan canggih terutamanya dalam bidang semikonduktor.
"Ia juga akan merangkumi pelaburan di seluruh kitaran perniagaan seperti syarikat pemula, modal teroka serta syarikat peringkat pertengahan dan akhirnya untuk menyokong penyenaraian saham syarikat-syarikat tersebut.
"Pelaburan-pelaburan ini menjadi teras utama bagi program GEAR-uP dengan tujuan untuk memacu pertumbuhan ekosistem ekonomi baharu dan meningkatkan penyertaan GLIC dalam ikhtiar pembangunan negara.
"Enam GLIC yang terlibat ialah Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Simpanan Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), Permodalan Nasional Berhad (PNB), Lembaga Tabung Haji dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).
"GLIC ini akan menggunakan kepakaran masing-masing untuk mencapai matlamat bersama, iaitu 'Menaikkan Siling' kedudukan ekonomi negara dan 'Menaikkan Lantai' kualiti hidup rakyat," jelasnya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan menyatakan melalui penglibatan menyeluruh ini, GLIC akan meningkatkan tumpuan mereka kepada pelaburan tempatan dan modal yang dilabur ini boleh memanfaatkan semua rakyat serta melahirkan ekosistem-ekosistem ekonomi baharu.
“Dengan jumlah Aset di Bawah Pengurusan (AUM) bernilai lebih daripada RM1.8 trilion, yakni sekitar saiz keluaran dalam negeri kasar (KDNK) nominal, GLIC tersebut mempunyai kekuatan kewangan untuk menggerakkan lonjakan negara di rantaian nilai ekonomi dan menambah baik mutu kehidupan rakyat,” tambah beliau.
Jelas kenyataan itu lagi, melangkaui pelaburan modal, GLIC dan Syarikat-syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) akan menerajui usaha untuk memberi impak bagi meningkatkan kehidupan pekerjapekerja di organisasi serta ekosistem masing-masing, termasuklah di dalam syarikatsyarikat pelaburan mereka.
Ini merangkumi, antara lain, komitmen untuk memastikan pekerja-pekerja menerima gaji wajar sebanyak RM3,1001, serta menyelaraskan penanda aras gaji pada masa hadapan dengan laporan tahunan Belanjawanku oleh KWSP.
#Anwar Ibrahim #Kementerian Kewangan #KDNK #KWSP #pelaburan #GLIC
;