Pelaburan hijau di Asia Tenggara naik 20 peratus tahun ke tahun, tahun lepas - Laporan

Bernama
April 15, 2024 06:45 MYT
Pada tahun lepas, Malaysia mencatat AS$1.03 bilion dalam pelaburan hijau swasta, menyumbang kira-kira 16 peratus daripada jumlah pelaburan hijau di rantau ini. - Gambar hiasan Bernama
SINGAPURA: Pelaburan hijau di Asia Tenggara meningkat 20 peratus tahun ke tahun kepada AS$6.3 bilion (AS$1=RM4.76) pada 2023 berbanding AS$5.2 bilion pada 2022, dengan Malaysia sebagai negara yang mencatat kenaikan terbesar tahun ke tahun sebanyak 326 peratus, menurut Laporan Ekonomi Hijau Asia Tenggara 2024.
Menurut laporan itu yang dikeluarkan hari ini oleh firma perunding global Bain & Company, GenZero, Standard Chartered dan Temasek, tenaga; terutama boleh baharu, kekal sebagai teras pelaburan hijau terbesar di rantau ini pada tahun lepas.
"(Bagaimanapun), peningkatan pelaburan bagi pusat data hijau yang dipacu oleh peraturan kecekapan tenaga di Malaysia dan Singapura serta pelaburan dalam pengurusan sisa ke arah perawatan air dan kitar semula plastik di rantau ini memacu pelaburan dolar terbesar," menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan mengenai laporan itu.
Laporan itu menjelaskan Asia Tenggara telah mencapai kemajuan yang ketara dalam pelaburan hijau, tetapi masih jauh untuk mencapai pelaburan kumulatif AS$1.5 trilion yang diperlukan untuk membiayai peralihan hijau di rantau ini, dengan hanya 1.5 peratus atau AS$45 bilion pelaburan dibuat sehingga 2023.
Laporan itu turut menekankan lima pemecut yang boleh mempercepat peralihan hijau di rantau ini iaitu set insentif dasar yang lebih komprehensif, mekanisme kewangan yang inovatif, skala pelaburan korporat, pembangunan kluster atau perintis dan kerjasama serantau.
"Memperluas Taksonomi Asean boleh membantu pihak berkepentingan serantau untuk menyelaraskan definisi peralihan yang boleh dipercayai dan kewangan hijau, yang menambah keyakinan pelabur dan meningkatkan aliran masuk modal hijau.
"Usaha bersama antara kerajaan, korporat dan pelabur untuk memainkan peranan masing-masing turut sama pentingnya," kata laporan itu.
Ketua Pengurusan Pelaburan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus dan Pengarah Urusan Kemampanan Temasek, Park Kyung-Ah berkata, Asia Tenggara mempunyai peranan amat besar dalam matlamat sifar bersih global, namun menghadapi cabaran berganda yang sering bertentangan untuk memenuhi keperluan yang semakin meningkat bagi tenaga mampu milik dan boleh dipercayai di samping mengurangkan pelepasan secara serentak.
"Untuk merebut peluang pertumbuhan hijau dan mempercepat peralihan dengan cara yang adil dan inklusif, kami memerlukan kerjasama radikal merentas sektor awam dan swasta, serta memanfaatkan set peralatan kewangan yang meluas untuk memangkin aliran pelaburan bagi infrastruktur mampan dan secara kolektif meningkatkan kebolehan bank dalam projek sedemikian," kata Park.
Bagi Malaysia pula, laporan itu memaklumkan peningkatan terbesar negara bagi tahun ke tahun dalam pelaburan hijau disokong oleh pembiayaan hijau berskala besar bagi pusat data di Johor -- pelaburan US$280 juta di Nusajaya Tech Park dan pelaburan AS$250 juta di Kulai serta pelaburan yang stabil dalam solar.
Pada tahun lepas, Malaysia mencatat AS$1.03 bilion dalam pelaburan hijau swasta, menyumbang kira-kira 16 peratus daripada jumlah pelaburan hijau di rantau ini.
Bagaimanapun, menurut laporan itu, usaha penting perlu dilakukan untuk mencapai pelaburan modal yang diperlukan sebanyak AS$27 bilion.
Bagi mempercepat pembangunan tenaga hijau di negara ini, laporan itu mengesyorkan untuk memacu penggunaan kewangan gabungan, perkembangan selanjutnya dalam peraturan boleh baharu, dan meneruskan momentum dalam taman perindustrian. - BERNAMA
#pelaburan hijau #Asia Tenggara #Laporan Ekonomi Hijau Asia #Malaysia
;