Pelaburan dilulus turun 26 peratus bagi sembilan bulan pertama

Najib Aroff
Disember 15, 2017 17:33 MYT
penurunan ini susulan kelulusan pelaburan dalam sektor perkhidmatan, yang merekodkan penurunan 37.6 peratus. - foto AstroAWANI
Malaysia merekodkan pelaburan dilulus bernilai RM113.5 bilion melibatkan sektor pembuatan, perkhidmatan dan sektor utama bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, penurunan 26.5 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.
Menurut kenyataan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), jumlah itu melibatkan keseluruhan pelaburan sebanyak 3,886 projek dan dijangka mewujudkan 91,500 peluang pekerjaan.
"Sama seperti prestasi separuh pertama 2017, penurunan ini susulan kelulusan pelaburan dalam sektor perkhidmatan, yang merekodkan penurunan 37.6 peratus.
"Ia selari dengan kelemahan sektor hartanah yang diramal berterusan sehingga akhir tahun. Sektor pembuatan juga menurun 15.5 peratus susulan asas yang lebih tinggi dalam laporan sebelum ini disebabkan kelulusan berkait projek RAPID Pengerang Johor selain kelemahan trend Pelaburan Langsung Asing (FDI) global," katanya.
Tambah kenyataan itu, strategi Malaysia meletakkan syarikat tempatan sebagai pemacu utama bagi pertumbuhan negara membuahkan hasil yang mana lebih 73.5 peratus pelaburan dilulus adalah dari sumber tempatan dan baki adalah pelaburan asing.
"Bajet 2018 memberi penekanan kepada pengembangan syarikat tempatan terutama Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), melibatkan peruntukan, geran, pinjaman mudah dan jaminan RM23.7 bilion," jelas kenyataan itu.
#bajet #Bajet 2018 #FDI #Malaysia #MIDA #pelaburan #Pelaburan dilulus #PKS #RAPID #sektor pembuatan #sektor perkhidmatan
;