Pelaburan agresif tingkatkan pendapatan golongan pertengahan - Tengku Zafrul

Faida Rahim
Mac 3, 2023 21:53 MYT
Beliau menjangkakan lebih banyak pelaburan yang bakal memasuki negara ini dan berharap dapat meneruskan momentum yang stabil untuk tahun 2023. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Negara memerlukan pelaburan domestik dan antarabangsa yang agresif bukan sahaja untuk membawa hasil kepada syarikat malah untuk para pekerja.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata usaha ini perlu dipergiatkan dalam membantu meningkatkan taraf pendapatan isi rumah terutama golongan pertengahan di negara ini.
"Jadi, kita nak pelaburan domestik dan pelaburan antarabangsa, kita nak supaya pelaburan ini akan membawa hasil bukan saja kepada syarikat tetapi juga kepada pekerja pekerja. Oleh itu fokus kepada pekerja itu penting terutama dari segi pendapatan. Kita nak naikkan taraf household income (pendapatan isi rumah) melalui kadar pendapatan.
"Sudah agak lama kita berada dalam perangkap pendapatan pertengahan. Di bawah RM13,000 per Pendapatan Negara Kasar (GNI). Apa yang kita mahukan adalah meningkatkannya dan salah satu cara (ialah) supaya pelabur tempatan dan asing menaikkan produktiviti, sekali gus pendapatan juga dapat dinaikkan," katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran buku "Mengharungi Badai Ekonomi: Mengemudi Bahtera Menelusuri Gelombang COVID-19" anjuran CIMB Preferred di Galeri Antarabangsa, KLGCC Resort, hari ini.
Sementara itu, beliau menjangkakan lebih banyak pelaburan bakal menembusi negara dan berharap dapat mengekalkan kestabilan momentum untuk tahun 2023.
"Kami menjangkakan lebih banyak lagi dan berharap dapat meneruskan momentum ini, kerana kami tahu bahawa 2023 akan menjadi tahun yang mencabar dari segi prospek ekonomi global.
“Namun, apabila kita melihat kepada pelaburan ia bersifat jangka panjang, jadi kita perlu terus memberi tumpuan untuk mendapatkan jenis pelaburan tepat ke Malaysia. Saya optimis bahawa negara mempunyai persekitaran, insentif dan pakej yang betul, maka kita akan terus dapat menarik pelabur datang ke Malaysia," katanya.
Tambahnya, kehadiran pengeluar kereta elektrik TESLA di Malaysia dijangka akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan yang mampu menawarkan gaji lebih baik bagi segmen kenderaan bateri elektrik (BEV).
#Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz #Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri #pelaburan domestik dan antarabangsa #pendapatan golongan pertengahan
;