Pelabur Pakistan tunjuk minat dalam sektor cip di Malaysia
Bernama
November 20, 2024 21:04 MYT
November 20, 2024 21:04 MYT
NEW DELHI: Sektor pembuatan cip yang berkembang pesat di Malaysia telah menarik minat pelabur dari Pakistan.
Industri semikonduktor merupakan satu daripada bidang kerjasama baharu utama antara Malaysia dan Pakistan susulan lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Islamabad pada Oktober lepas.
"Malaysia berada pada landasan untuk menjadi hab cip global, dan pelabur Pakistan dijemput melabur di Malaysia," kata Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Pakistan, Datuk Mohammad Azhar Mazlan, kepada Bernama.
Awal bulan ini, lebih 50 pemimpin industri terkemuka Pakistan menghadiri majlis makan malam yang dianjurkan oleh Pesuruhjaya Tinggi di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Islamabad.
Tumpuan majlis itu adalah untuk memperkukuh perdagangan, pelaburan, dan kerjasama perniagaan antara kedua-dua negara, memanfaatkan momentum hubungan dua hala hasil lawatan Anwar.
Pesuruhjaya Tinggi turut menggalakkan ahli perniagaan Pakistan menjadikan Malaysia sebagai pintu masuk produk mereka ke pasaran ASEAN yang didiami 680 juta penduduk.
Dalam usaha memperluaskan perdagangan dua hala dalam sektor pertanian, Malaysia merancang mengimport daging halal bernilai AS$200 juta dan 100,000 tan beras basmati dari Pakistan.
-- BERNAMA