Pelabur institusi tempatan paling banyak jual ekuiti

Dagang News
Oktober 20, 2021 07:44 MYT
Sementara itu, pelabur runcit pula muncul penjual kedua terbesar ekuiti tempatan sepanjang minggu lalu dengan meningkat 14% minggu ke minggu kepada RM79 juta. - Foto DagangNews.com
KUALA LUMPUR: Pelabur institusi tempatan paling banyak menjual ekuiti tempatan sepanjang minggu lalu, dengan meningkat 5.3 kali ganda kepada RM725 juta.
Ini secara tidak langsung menjadikan jualan ekuiti mereka meningkat kepada RM10.2 bilion, setakat ini, menurut CGS-CIMB dalam laporan aliran dana bagi minggu berakhir 15 Oktober.
"Mereka muncul penjual bersih bagi saham dalam sektor penjagaan kesihatan dan produk perindustrian.
"Terdapat 3 saham paling banyak dijual terutamanya Petronas Chemicals, IHH Healthcare dan Maybank dengan masing-masing berjumlah RM119.8 juta, RM99.5 juta dan RM85.7 juta," katanya semalam.
Sebaliknya, firma itu mendapati, pelabur asing kekal menjadi satu-satunya pembeli bersih ekuiti tempatan bagi tempoh 2 minggu berturut-turut.
Katanya, pelabur asing membeli sebanyak RM925 juta ekuiti minggu lalu, meningkat 315% minggu ke minggu.
"Didapati mereka banyak membeli saham berkaitan perkhidmatan kewangan dan penjagaan kesihatan terutamanya CIMB, Petronas Chemicals dan IHH dengan masing-masing sebanyak RM130.3 juta, RM119.5 juta dan RM99.7 juta," katanya.
Sementara itu, pelabur runcit pula muncul penjual kedua terbesar ekuiti tempatan sepanjang minggu lalu dengan meningkat 14% minggu ke minggu kepada RM79 juta.
"Saham yang dijual kebanyakannya tertumpu kepada perkhidmatan kewangan dan produk perindustrian terutama CIMB, MYEG dan Public Bank," tambahnya.
CGS-CIMB berkata, saham CIMB, Public Bank dan Dialog paling menjadi tumpuan pelabur dalam pasaran ekuiti tempatan.
"CIMB paling banyak dibeli pelabur institusi asing tetapi paling banyak dijual pelabur runcit. Public Bank pula banyak dibeli pelabur institusi tempatan tetapi dijual pelabur penama.
"Untuk Dialog pula, jadi tumpuan pelabur institusi tempatan tetapi paling banyak dijual pelabur institusi asing," jelasnya.
Bagi minggu berakhir 15 Oktober itu juga, firma tersebut mendapati, dagangan KLCI menokok 2.2% minggu ke minggu didorong peningkatan semua sektor kecuali penjagaan kesihatan.
Tambahnya, sebahagian besar dagangan juga disokong aliran masuk asing yang turut menyaksikan pegangan asing alam pasaran tempatan kekal pada paras 20.4% setakat akhir September lalu.
"Ia menyaksikan volum purata dagangan harian berkembang 21% minggu ke minggu kepada 5.3 bilion unit manakala nilai purata dagangan harian meningkat 9% kepada RM3.4 bilion," katanya.
Artikel asal di DagangNews.com
#pelabur institusi tempatan #jualan ekuiti #saham #pelabur runcit
;