Pelabur China sasar peluang pelaburan di Labuan - Dr Zaliha

Bernama
November 4, 2024 07:30 MYT
Dr Zaliha berkata beberapa firma perindustrian di China menyasarkan peluang pelaburan terutama dalam sektor kewangan dan pembangunan di Labuan sekali gus menggariskan potensi Labuan sebagai hab ekonomi yang berdaya maju di Asia. - Foto fail/BERNAMA
LABUAN: Beberapa firma perindustrian di China menyasarkan peluang pelaburan di Labuan terutama dalam sektor kewangan dan pembangunan di pulau berkenaan sekali gus menggariskan potensi Labuan sebagai hab ekonomi yang berdaya maju di Asia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, lawatan beliau ke bandar utama China baru-baru ini seperti Hangzhou, Shanghai dan Shenzhen, berperanan penting dalam membina hubungan dan memupuk minat pelabur.
"Semasa lawatan saya, kami mengadakan libat urus dengan pelabur berpotensi yang berminat untuk meneroka peluang perniagaan di Labuan terutama dalam bidang kewangan dan pembangunan," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian insentif kepada atlet Labuan Para Sukan Malaysia, di sini, malam tadi.
Beliau turut menekankan mengenai kepentingan penglibatan yang berterusan dengan pelabur yang berminat bagi memastikan usaha niaga yang dicadangkan menjadi kenyataan.
"Tindakan susulan dengan pihak berkenaan adalah penting bagi menjadikan perbincangan ini sebagai pelaburan perniagaan yang positif dan akan memberi manfaat kepada pulau ini," katanya.
Bagi menyokong pertumbuhan Labuan, Dr Zaliha berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menggariskan pulau itu sebagai kawasan keutamaan dalam agenda negara untuk menangani aspek kemudahan asas dan penambahbaikan keselamatan.
Menurutnya, Kementerian Kewangan komited dalam menyediakan dana sama ada secara langsung atau menerusi pelbagai kementerian bagi menyokong pembangunan sosioekonomi Labuan.
Beliau turut berkongsi maklumat mengenai beberapa pasukan petugas yang ditubuhkan untuk memajukan pelancongan Labuan, keupayaan pemunggahan kapal dan menghubungkan Labuan ke Sabah melalui jambatan.
Pasukan petugas pelancongan ini bukan sahaja tertumpu untuk menambah baik tawaran pelancongan di Labuan malah bertujuan meningkatkan kebolehcapaian kepada pelancong dan penduduk tempatan, katanya.
"Pasukan petugas pemunggahan kargo pula sedang giat menunjukkan perkembangan, dan jambatan yang menghubungkan Labuan ke tanah besar Sabah turut menunjukkan kemajuan apabila Kementerian Kerja Raya meluluskan peruntukan RM500,000 bagi kajian kebolehlaksanaan permulaan.
"Pasukan petugas ini beroperasi sepenuhnya, dan beberapa perbincangan penting telah diadakan," kata Dr Zaliha.
- BERNAMA
#pelabur China #sektor kewangan #Labuan #Dr Zaliha Mustafa
;