Pelabur asing tingkatkan belian ekuiti domestik bernilai RM1.4 bilion minggu lepas - MIDF
Bernama
Ogos 26, 2024 15:20 MYT
Ogos 26, 2024 15:20 MYT
KUALA LUMPUR: Pelabur asing kekal sebagai pembeli aktif minggu lepas dengan merekodkan pembelian bersih ekuiti domestik bernilai RM1.4 bilion, hampir lima kali ganda daripada RM299.6 juta yang dibeli pada minggu sebelumnya, kata MIDF Amanah Investment Bank Bhd (MIDF).
Menerusi laporan aliran dana bagi minggu berakhir 23 Ogos 2024, MIDF berkata pelabur asing adalah pembeli bersih pada setiap hari dagangan kecuali Jumaat, dengan aliran masuk asing bersih terbesar berjumlah RM574.9 juta pada Isnin, apabila Malaysia mengumumkan eksportnya melonjak pada kadar terpantas hampir dua tahun.
Eksport Malaysia mencecah RM131.2 bilion pada Julai 2024, peningkatan 12.3 peratus tahun ke tahun.
MIDF berkata terdapat penjualan ekuiti domestik bernilai RM1.6 juta pada Jumaat minggu lepas selepas pembelian bersih selama empat hari berturut-turut.
"Sektor yang mencatat aliran masuk asing bersih tertinggi ialah perkhidmatan kewangan (RM1.30 bilion), utiliti (RM118.9 juta) dan telekomunikasi serta media (RM54.8 juta).
"Sementara itu, sektor dengan aliran keluar asing bersih tertinggi ialah teknologi (RM140.2 juta), produk pengguna dan perkhidmatan (RM50.2 juta) dan hartanah (RM25.9 juta)," katanya dalam laporan itu.
Bagi pelabur institusi tempatan pula, MIDF berkata mereka adalah penjual bersih setiap hari dagangan, terus menjual ekuiti domestik untuk minggu kedua berturut-turut dengan nilai jualan bersih RM1.12 bilion.
Sementara itu, peruncit tempatan hanya merekodkan pembelian bersih bernilai RM78.2 juta pada Jumaat dan mereka menjual bersih sejumlah RM284.4 juta pada minggu itu.
Purata jumlah dagangan harian menunjukkan peningkatan merentas semua kelas pelabur.
"Pelabur asing mencatatkan peningkatan tertinggi pada 35.8 peratus, manakala pelabur institusi tempatan dan peruncit tempatan masing-masing mencatatkan peningkatan sebanyak 33.1 peratus dan 19 peratus," kata MIDF.
-- BERNAMA