Pelabur asing terus beli RM11.3 bilion bon kerajaan bagi tujuh bulan berturut-turut, tertinggi sejak Jun 2020

Dagang News
Ogos 10, 2023 04:45 MYT
Kenanga Research berkata jumlah pegangan hutang asing meningkat kepada rekod tertinggi baharu bernilai RM279.2 bilion daripada RM267.9 pada Jun. -Gambar hiasan/Dagang News
KUALA LUMPUR: Pelabur asing kekal sebagai pembeli bersih sekuriti hutang Malaysia bagi bulan ketujuh berturut-turut pada Julai dengan mencatatkan sebanyak RM11.3 bilion berbanding RM5.2 bilion dalam Mei, paras tertinggi sejak Jun 2020.
Kenanga Research berkata jumlah pegangan hutang asing meningkat kepada rekod tertinggi baharu bernilai RM279.2 bilion daripada RM267.9 pada Jun, dengan bahagiannya kepada jumlah terkumpul hutang meningkat ke paras tertinggi 14 bulan iaitu 14.3% (Jun: 13.8%).
Firma penyelidikan itu berkata pasaran bon tempatan telah dirangsang oleh sentimen risiko global yang kembali kukuh selepas kenaikan kadar Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) bulan lepas.
“Pasaran mengambil kira kemungkinan pengakhiran kitaran pengetatan Fed, di samping keyakinan yang semakin meningkat terhadap langkah memperlahankan ekonomi AS untuk mengelak kemelesetan.
“Bon domestik terus mendapat manfaat daripada aliran keluar pelabur dari China akibat kemerosotan sentimen terhadap pertumbuhan China dan risiko geopolitik yang semakin meningkat.
“Tambahan pula, pelabur mungkin mencari untuk mendapatkan hasil puncak domestik memandangkan tamatnya normalisasi dasar BNM, dengan hasil bon dijangka menurun pada masa hadapan,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Menurut firma tersebut, aliran masuk itu didorong terutamanya oleh peningkatan besar dalam pegangan Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan aliran keluar Bil Perbendaharaan Malaysia (MTB) yang lebih kecil, walaupun aliran masuk Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII) lebih perlahan.
“Pegangan asing di dalam MGS pada Julai meningkat kepada RM7.6 bilion (Jun: RM1.6 bilion), paras tertinggi 14 bulan dengan lonjakan 36.6% (Jun: 35.9%).
“Pegangan di dalam GII pada Julai meningkat kepada RM1.8 bilion (Jun: RM3.6 bilion), menyaksikan bahagian pegangan asing daripada jumlah bon tertunggak meningkat 10.2% (Jun: 9.7%).
"Bagi MTB pula, pegangan asing merosot RM600 juta (Jun: merosot RM1.5) dengan bahagian pegangan asing jatuh ke paras terendah tiga tahun sebanyak 22.5% (Jun: 25.3%),” katanya.
Di samping itu, bagi pasaran ekuiti, Kenanga Research berkata pelabur asing bertukar menjadi pembeli bersih buat kali pertama dalam tempoh 11 bulan, merekodkan aliran masuk RM1.4 bilion (Jun: aliran keluar RM1.4 bilion), dirangsang oleh keyakinan terhadap potensi berakhirnya kitaran kenaikan kadar Fed, penilaian saham secara amnya murah dan prospek pertumbuhan domestik yang kukuh pada masa hadapan.
“Secara keseluruhan, pasaran modal mencatat aliran masuk bersih yang lebih besar sebanyak RM12.7 bilion pada Julai (Jun: RM3.8b), tertinggi sejak Mac 2016.
Kenanga Research menjangkakan pasaran bon domestik terus menarik permintaan asing yang kukuh berikutan sentimen risiko global yang positif, apabila Fed dan bank pusat utama lain mencapai penghujung kitaran pengetatan mereka.
“Walaupun pilihan raya negeri tempatan mungkin menimbulkan beberapa risiko politik yang kecil kepada ekuiti, kami tidak menjangkakan ia memberi kesan ketara kepada aliran bon bulan ini,” katanya. - DagangNews.com
#pelabur asing #pembeli bersih sekuriti hutang Malaysia #Kenanga Research #jumlah pegangan hutang asing