Pelabur asing rekod belian ekuiti domestik bernilai RM10.2 juta minggu lepas - MIDF
Bernama
Oktober 16, 2023 11:41 MYT
Oktober 16, 2023 11:41 MYT
KUALA LUMPUR: Pelabur asing merekodkan belian ekuiti domestik di Bursa Malaysia berjumlah RM10.2 juta minggu lepas selepas mencatatkan jualan bersih selama dua minggu berturut-turut.
MIDF Research berkata ia adalah minggu dagangan bercampur-campur, dengan aliran masuk asing hanya dilihat pada urus niaga Selasa dan Khamis.
"Kebanyakan aliran masuk berlaku pada Khamis (RM118.0 juta), sehari sebelum pembentangan Belanjawan 2024.
"Pada hari berkenaan, sektor utiliti menyaksikan aliran masuk tertinggi sebanyak RM70.0 juta, dengan pelabur asing menunjukkan minat terhadap saham-saham seperti Tenaga Nasional (RM24.6 juta), YTL Power (RM21.5 juta) dan YTL Corporation (RM17.1). juta)," katanya dalam laporan aliran dananya untuk minggu berakhir 13 Okt 2023.
Sejak awal tahun sehingga kini, pelabur asing telah menjual bersih RM3.12 bilion di Bursa Malaysia.
Tiga sektor teratas dengan aliran masuk asing bersih ialah utiliti (RM221.5 juta), teknologi (RM62.0 juta) dan produk dan perkhidmatan perindustrian (RM43.9 juta).
Sementara itu, tiga sektor teratas dengan aliran keluar asing bersih ialah produk dan perkhidmatan pengguna (RM130.4 juta), penjagaan kesihatan (RM103.0 juta) dan perkhidmatan kewangan (RM60.0 juta).
Institusi tempatan terus mencatatkan belian ekuiti domestik untuk minggu kedua berturut-turut, dengan jumlah belian bersih RM136.9 juta, menjadikan belian bersih ekuiti sebanyak RM3.77 billion setakat ini untuk tahun 2023.
Dalam pada itu, peruncit tempatan beralih menjadi penjual bersih ekuiti domestik dengan jumlah jualan bersih RM147.1 juta dan setakat ini telah merekodkan jualan bersih berjumlah RM655.3 juta.
Dari segi penyertaan, terdapat penurunan dalam purata volum dagangan harian (ADTV) secara keseluruhan didahului dengan institusi tempatan (-13.0 peratus), pelabur asing (-4.6 peratus) dan pelabur runcit (-1.6 peratus).
-- BERNAMA