Pelabur asing lupuskan sejumlah RM135.6 juta bersih ekuiti tempatan minggu lepas

Bernama
Jun 8, 2021 13:30 MYT
Menurut Adam, pelabur antarabangsa menjadi penjual bersih pada hari Khamis apabila mereka mengeluarkan sejumlah RM61.2 juta bersih berikutan kes COVID-19 harian yang terus tinggi. - Gambar hiasan/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Pelabur asing menjual sejumlah RM135.6 juta bersih ekuiti tempatan minggu lepas berbanding aliran masuk bersih RM190.2 juta pada minggu sebelumnya, kata ahli ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Adam Mohamed Rahim.
Beliau berkata pelabur asing memulakan minggu pada Isnin yang juga merupakan hari terakhir perdagangan bagi bulan Mei dengan memperoleh RM60.4 juta bersih ekuiti tempatan untuk mencatat aliran keluar bersih asing sebanyak RM161.5 bilion pada Mei berbanding RM1.1 bilion bulan sebelumnya.
"Tahap aliran penjualan bersih asing bulanan kini telah mencapai bulan ke-23," katanya kepada Bernama.
Namun begitu, bulan Jun mempamerkan permulaan yang agak tidak menentu apabila pelabur asing menjual sejumlah RM41.1 juta bersih ekuiti tempatan pada Selasa yang turut menandakan hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan Penuh di seluruh negara yang akan dilaksanakan selama dua minggu.
"Dana asing kemudian kembali ke Bursa Malaysia pada Rabu dengan sejumlah RM139.2 juta bersih di tengah berita Axiata Group akan bekerjasama dengan RHB Bank Bhd untuk memohon mendapatkan lesen bank digital.
"Semua indeks sektoral berada dalam zon positif pada Rabu, didorong oleh harga minyak mentah Brent yang lebih kukuh berikutan persetujuan yang dicapai oleh Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan rakan bukan OPEC untuk secara beransur-ansur mengurangkan pemotongan pengeluaran di tengah-tengah jangkaan permintaan minyak mentah yang lebih tinggi ," tambah beliau.
Menurut Adam, pelabur antarabangsa menjadi penjual bersih pada hari Khamis apabila mereka mengeluarkan sejumlah RM61.2 juta bersih berikutan kes COVID-19 harian yang terus tinggi sehingga melebihi 8,000 kes pada hari Khamis.
"Urus niaga Jumaat agak kucar-kacir apabila dana asing melupuskan sejumlah RM232.9 juta bersih ekuiti tempatan walaupun Malaysia telah memberikan 117,563 dos pada 3 Jun 2021, yang tertinggi sejak program vaksinasi bermula pada bulan Februari.
"Ini sedikit sebanyak telah menjejaskan sentimen terhadap permintaan sarung tangan getah dalam era selepas vaksinasi, sekali gus mencetuskan penjualan besar-besaran di sektor sarung tangan getah," katanya.
Adam menyatakan sejak awal tahun sehingga kini, pelabur asing telah mengeluarkan sejumlah RM3.2 bilion bersih ekuiti tempatan daripada Bursa Malaysia berbanding RM14.3 bilion bersih yang dijual dalam jangka masa yang sama tahun lalu.
- BERNAMA
#Bursa Malaysia #OPEC #bank #ekonomi #minyak #COVID-19
;